Garmin merupakan salah satu jenama jam tangan pintar yang cukup dikenali dengan produk berkualiti. Dalam perkembangan terkini, Garmin dikatakan dalam perancangan untuk persediaan jam tangan pintar yang lebih bertetapan dengan gaya elegan wanita kini.
Mungkin dikenali sebagai Garmin Lily, rekaan dan spesifikasinya kini telah tertiris menerusi perkongsian daripada WinFuture. Secara keseluruhannya, rekaan yang cuba diketengahkan menampilkan sentuhan menarik dan kemas yang sememangnya menyasarkan pengguna wanita.

Garmin Lily dijangka hadir dalam dua pilihan berbeza iaitu Garmin Lily Classic dan Garmin Lily Sport. Perbezaan utama antara kedua-duanya adalah dari segi binaan – di mana, versi klasik dikhabarkan dilengkapi bahan berasaskan logam bersama tali jenis kulit. Sementara itu, versi sukan pula menggunakan bahan berasaskan plastik bersama tali silikon.
Untuk spesifikasi, kedua-duanya dikhabarkan mempunyai ciri yang sama. Ia mempunyai skrin bersaiz 1.3-inci LCD dengan resolusi 240 x 201 piksel. Dari segi fungsi, ia juga dipercayai hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan, dilengkapi mod sukan berbeza, sokongan GPS dan pelindungan kalis air sehingga 50 meter. Info lanjut mengenai kapasiti bateri masih tidak diketahui – tetapi ia dikhabarkan mampu bertahan sehingga 5 hari.

Buat masa ini, belum diketahui bilakah ia akan dilancarkan. Tetapi dengan ketirisan ini, kita mungkin akan dapat melihat pengenalannya tidak lama lagi. Menurut sumber juga versi sukan akan ditawarkan pada harga yang lebih rendah.