Cari @ Amanz

Pada penghujung tahun lepas, selain daripada memperkenalkan cip pemprosesan generasi ke-11 Tiger Lake mereka, Intel turut memperkenalkan sebuah kad grafik yang dibangunkan khas untuk komputer riba juga, yang dinamakan Intel Iris Xe Max.

Komputer riba pertama yang dilihat menggunakan kad grafik baru ini ialah Acer melalui Acer Swift 3X mereka, dan ia dilihat sebagai pesaing kepada pilihan GPU berprofil rendah lain seperti apa yang ditawarkan melalui NVIDIA.

Terkini, Intel telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan kad grafik Intel Iris Xe pula khusus untuk pasaran PC pula, yang dinamakan Intel DG-1. Dipasarkan untuk komputer mampu-milik, kad grafik ini hadir dengan 80 unit pemprosesan (execution units) dan mempunyai 4GB memori video.

Kad grafik ini juga mampu menggerakkan sehingga tiga paparan skrin pada resolusi 4K dan pelbagai sokongan teknologi paparan termasuklah Display HDR, Adaptive Sync dan teknologi penyahkod AV1 yang menjanjikan penstriman video dengan lengah-masa rendah, yang cukup berguna sekali untuk perkara-perkara seperti telesidang dan penstriman.

Buat masa ini, Intel telah bekerjasama dengan dua syarikat pembuat kad grafik untuk memperkenalkan kad grafik ini kepada umum, termasuklah ASUS dan juga Colorful khusus untuk komputer-komputer siap-bina dan OEM.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd