Sewaktu acara CES 2021 yang berlangsung tidak lama dahulu, MSI telah memperlihatkan sejumlah komputer riba gaming mereka yang bakal dikuasakan oleh cip pemprosesan grafik terbaru NVIDIA GeForce RTX 3000.
MSI Malaysia baru-baru ini telah mengemaskini laman web mereka dengan pengumuman bahawa mereka akan membuka pra-tempahan untuk sejumlah siri komputer riba gaming mereka yang akan menggunakan kad-kad grafik tersebut.
Melalui laman web tersebut, ia dapat dilihat bahawa MSI Malaysia akan menawarkan empat komputer riba gaming, termasuklah MSI GE76 Raider, MSI GE66 Raider, MSI GS66 Stealth dan MSI GF65 Thin.

Dari segi spesifikasi dalaman, kesemua komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-10 siri-H, memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD NVMe PCIe sehingga 1TB. Seperti yang dikatakan, komputer-komputer riba ini akan dikuasakan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000, dari GeForce RTX 3060 hinggalah GeForce RTX 3080.
Buat masa ini, ia dilihat bahawa kesemua komputer-komputer riba ini akan hadir dengan satu konfigurasi sahaja, kecuali untuk MSI Stealth GS66, yang akan tiba dengan pilihan GPU NVIDIA GeForce RTX 3070 ataupun RTX 3080 Max-Q.
MSI Malaysia juga turut memperlihatkan tanda harga untuk komputer-komputer riba ini, dan ia adalah seperti berikut:
- MSI GE76 Raider – RM9999
- MSI GE66 Raider – RM14,999
- MSI GS66 Stealth (RTX 3070 Max-Q) – RM10,999
- MSI GS66 Stealth (RTX 3080 Max-Q) – RM17,999
- MSI GF65 Thin – RM5199
Pra-tempahan untuk komputer-komputer riba ini dibuka dari 25 Januari hingga 31 Januari 2021 kelak, selagi stok masih ada.