Cari @ Amanz

Permintaan untuk komputer riba meningkat tahun lalu kerana keperluan bekerja dan pembelajaran dar rumah. Hari ini pihak Acer melancarkan sebuah komputer riba tahan lasak yang boleh memenuhi keperluan sepanjang pandemik iaitu Acer TravelMate P4.

Acer TravelMate P4 dilengkapi skrin 14″ IPS LCD FHD yang dipadankan dengan cip sehingga Intel Core i7 Gen-11, memori sehingga 8GB RAM dan storan 512GB M.2 PCIe SSD. Bateri yang disertakan pula memberikan wakti operasi sehingga 15.5 jam dengan sekali caj.

Memenuhi keperluan telesidang, sebuah kamera web 720P HDR disertakan secara terbina pada bingkai skrin. Dari segi keselamatan pula komputer riba dilengkapi pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa dan pengecaman wajah menerusi sistem Windows Hello.

Tidak berakhir di situ, Acer TravelMate P4 melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD-810G. Ia kalis hentakan dari ketinggian 122 cm, kalis percikan air, debu, kelembapan dan haba. Sokongan lain yang diberikan ialah WiFi6, USB-C dan DisplayPort. Kesemuanya dimasukkan ke dalam kasis logam setebal 17.9mm dan seberat 1.41 kg.

Di Malaysia Acer TravelMate P4 dijual pada harga RM4099 untuk model Intel Core i5 Gen 11dan RM4999 untuk model Intel Core i7 Gen 11. Sepanjang tempoh jualan promosi sehingga 31 Mac 2021, pelanggan boleh menebus kredit Touch ‘n Go eWallet atau Boost eWallet bernilai RM80.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd