Malaysia Menyasarkan 75,000 Suntikan Vaksin Covid-19 Sehari Dengan Pusat Beroperasi 24 Jam

Malaysia Menyasarkan 75,000 Suntikan Vaksin Covid-19 Sehari Dengan Pusat Beroperasi 24 Jam

Diterbitkan pada Jan 27, 2021 oleh .

Proses vaksinasi menentang wabak Covid-19 di Malaysia akan bermula Mac hadapan. Ini adalah langkah yang perlu kerana gelombang ketiga wabak yang kini melanda Malaysia mencatatkan kes positif dan kematian yang tinggi. Di dalam temubual bersama laman CodeBlue hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dipetik berkata negara menyasarkan 75,000 suntikan sehari untuk fasa pertama.

Kemudiannya pada fasa kedua 150,000 suntikan akan diberikan setiap hari dengan mengambil kira individu yang akan mengambil dos kedua. Secara keseluruhan proses suntikan akan mengambil masa 15 minit bagi melihat sekiranya suntikan menghasilkan kesan sampingan reaksi anafilaksis yang akan dialami sebilangan kecil penerima. Terdapat perancangan untuk pusat suntikan beroperasi 24 jam sehari.

Covid-19

Khairy turut menambah sebanyak 600 pusat suntikan vaksin sudah dikenalpasti oleh KKM yang bakal menggunakan hospital, klinik kesihatan, hospital tentera, klinik swasta dan ruang dewan umum. Kesemua lokasi suntikan vaksin dipilih bagi memastikan orang ramai tidak perlu bergerak melebihi 10km dari tempat tinggal.

Dengan perancangan ini, kerajaan berharap dapat mencapai sasaran vaksinasi 27 juta rakyat Malaysia iaitu 80% populasi negara seawal Disember 2021 atau paling lewat Mac 2022.


Paling Popular