Carian
Tetikus Terpantas Dunia Razer Viper 8KHz Dilancarkan Pada Harga RM399
January 29, 2021 Effi Saharudin

Seberapa pantaskah tetikus yang anda gunakan sekarang? Bagi tugasan kerja ini tidaklah penting tetapi bagi atlet esukan ia boleh membezakan mereka di medan perang maya. Hari ini Razer Viper 8KHz telah dilancarkan yang menurut mereka adalah tetikus terpantas di dunia.

Ia hadir dengan teknologi Razer Hyperpolling yang menghantar data dari tetikus ke PC sebanyak 8000 kali sesaat. Ini adalah peningkatan dari 1000 kali sesaat yang digunakan oleh majoriti tetikus di pasaran sekarang. Menurut mereka dengan teknologi ini tiada lagi lewah jam diantara pergerakan tangan pengguna dengan kedudukan anak panah tetikus di skrin.

Selain itu Razer Viper 8KHz juga dilengkapi sensor optikal 20,000 DPI yang boleh mengesan pecutan sehingga 50G dan kelajuan 650 inci sesaat. Sementara itu suis yang digunakan pula melepasi piawaian sehingga 70 juta klik sepanjang hayatnya.

Seperti biasa sokonga Razer Synapse 3 dan lampu Razer Chroma turut disertakan. Razer Viper 8KHz adalah dari jenis berwayar dan dilengkapi kabel sepanjang 8 kaki. Razer Viper 8KHz telah mula dijual pada harga RM399 sebuah.

Komen