Kemas kini baharu pada aplikasi Telegram kini membolehkan pengguna untuk mengimport pelbagai bentuk mesej perbualan seperti video, dokumen atau sebagainya daripada beberapa aplikasi pemesejan lain secara terus. Ia termasuklah mesej daripada aplikasi WhatsApp, Line dan juga KakaoTalk. Melaluinya juga, pengguna peranti iOS dan Android kini boleh berpindah dari satu aplikasi ke aplikasi lain dengan beberapa langkah mudah sahaja.

Dalam pada itu, Telegram turut hadir dengan beberapa lagi kemas kini lain termasuklah membolehkan pengguna melaporkan saluran palsu yang menyamar sebagai individu atau organisasi terkenal. Kemudian, fungsi perbualan sembang berkumpulan yang ditambah baik dengan kebolehan untuk melaras kelantangan suara individu. Seterusnya, fungsi sembang rahsia, berkumpulan dan sejarah panggilan juga kini boleh dipadamkan untuk semua pihak pada bila-bila masa.
Tidak ketinggalan, terdapat juga sejumlah lagi kemas kini lain yang disertakan seperti pemain audio yang ditambahbaik, animasi Android serba baharu dan banyak lagi.