Yahoo merupakan salah satu enjin carian yang dulu mencabar Google. Namun, beberapa langkah, termasuk melesenkan enjin carian kepada pihak lain membuatkan pegangan pasaran mereka berkurangan, dan hari ini Yahoo tidak gah seperti suatu ketika dahulu.
Apa pun, perkara ini dilihat sebagai salah satu cabaran era baharu. Terbaru, Verizon Media – syarikat disebalik Yahoo dalam perancangan untuk memperkenalkan sejumlah pembaharuan pada perkhidmatan berkenaan.
Pada suku pertama 2021 ini, Yahoo dijangka akan melalui beberapa perubahan, yang mana memfokuskan kandungan yang lebih diperibadikan kepada seseorang pengguna.
Sebagai contoh, sekiranya Yahoo Mail anda mengandungi tiket penerbangan atau tempahan hotel, maka portal Yahoo utama akan mula memperlihatkan kandungan berkaitan percutian.
Begitu juga sekiranya anda mengikuti Yahoo Finance berkaitan sesuatu saham, maka laman utama Yahoo akan memaparkan kandungan yang disesuaikan kepada anda.
Disamping itu, pihak Yahoo turut mengatakan mereka melihat kepada beberapa perubahan positif pada Yahoo Mail. Baru-baru ini, mereka mendapati sektitar 2 juta pengguna yang strim kandungan NFL terus melalui aplikasi Yahoo Mail.
Tidak ketinggalan juga, angka jual-beli yang meningkat – membuka ruangan untuk Yahoo turut menceburi arena dagangan.
Dengan angka pengguna yang mendaftar masuk ke Yahoo yang tinggi, ia akan membolehkan mereka menawarkan kandungan yang lebih diperibadikan berdasarkan kepada interaksi pengguna pada platform-platform tersebut.
Verizon Media menyasarkan memperkenalkan perubahan ini secara berperingkat pada suku pertama 2021 ini.