Cari @ Amanz

Pada awal Januari 2021 yang lepas, WhatsApp telah memperkenalkan perubahan pada terma dan polisi yang membolehkan mereka berkongsi data dengan Facebook, serta keluarga aplikasi lain. Perkara ini menimbulkan kerisauan berkaitan privasi, dan ramai yang tidak selesa dengannya.

Sebagai langkah alternatif, ramai yang beralih kepada aplikasi seperti Telegram atas nama privasi. Walaupun Telegram menawarkan sejumlah ciri-ciri menarik – namun mengikut pakar sekuriti, perkhidmatan permesejan ini tidak menawarkan ciri privasi menyeluruh.

Yang pertama, Telegram tidak menawarkan ciri penyulitan menyeluruh, tetapi lebih kepada penulitan rangkaian sahaja. Ini bermakna, data disulitkan antara peranti anda ke pelayan Telegram sahaja, dan bukannya sehingga ke peranti penerima.

Apa pun, Telegram mempunyai ciri penyulitan penuh yang dinamakan Secret Chat, dan perlu diaktifkan secara manual. Tetapi, ciri ini mempunyai beberapa kekangan – termasuk tidak boleh digunakan antara peranti.

Selain daripada itu, untuk sembang berkumpulan, Telegram turut tidak menawarkan ciri penyulitan – dan juga tiada ciri Secret Chat untuk perbualan berkumpulan dibawah platform berkenaan.

  • Info
  • Pihak Telegram telah menghubungi Amanz, mengatakan sembang berkumpulan turut mempunyai penyulitannya tersendiri.

Mengikut pakar sekuriti, jikalau dibandingkan, WhatsApp menawarkan ciri penyulitan menyeluruh untuk permesejan dan juga panggilan – sekaligus meletakkan Telegram jauh dibelakang WhatsApp, apatah lagi jikalau dibandingkan dengan Signal dari segi penyulitan perhubungan.

Untuk pihak Telegram, mereka mengatakan ia sukar untuk mengimplementasi penyulitan penuh pada sembang berkumpulan kerana pengguna menggunakannya dalam menghantar dokumen dan video bersaiz besar, disamping menggunakannya pada pelbagai peranti.

Selain daripada itu, pakar sekuriti masih mempersoalkan penggunaan ciri penyulitan Telegram yang dibangunkan sendiri – yang diperkatakan mungkin terdapat kerentanan yang belum dikenal-pasti lagi.

Apa pun, bagi anda yang mencari aplikasi permesejan dengan fokus terhadap privasi, mungkin perlu menyemak kembali, dan mungkin Signal adalah pilihan buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd