MSI GE76 Raider Edisi Aurora Adalah Komputer Riba Terbaik Untuk Para Penstrim Permainan Video

Diterbitkan pada Feb 4, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Komputer riba adalah suatu peranti yang sangat penting pada masa sekarang. Kini ia bukan sekadar kehendak, tetapi juga keperluan kepada kita semua untuk membantu dalam meningkatkan produktiviti harian. Namun komputer riba ini terdiri daripada pelbagai jenis pengguna, dan sekiranya anda adalah daripada golongan yang gemar bermain permainan video dan sering membuat penstriman sendiri semasa bermain, komputer riba MSI GE76 Raider Edisi Aurora ini sangat sesuai untuk anda.

GE76 Raider Edisi Aurora adalah produk terbaru daripada MSI. Menurut MSI, peranti ini juga merupakan komputer riba pertama di dunia yang menggunakan Wi-Fi 6E. Apa itu Wi-Fi 6E? Secara ringkasnya, ia adalah versi Wi-Fi yang paling terkini pada masa ini. Ia mampu untuk mengoptimasikan kelajuan dan memberi kadar pendam (latency) yang rendah apabila ia disambungkan kepada penghala (router) yang menyokong Wi-Fi 6E. Secara ringkasnya, dengan terbinanya sokongan ini kepada komputer riba anda, proses untuk memuat naik dan memuat turun data menjadi lebih laju. Dalam konteks ini, apabila anda bermain permainan video dan membuat penstriman secara langsung menggunakan komputer riba ini dalam masa yang sama, prestasi permainan anda tidak akan terganggu kerana sambungan internet yang lebih stabil.

Dari segi rekabentuk, rekaan GE76 Raider Edisi Aurora ini memang sesuai untuk digunakan bagi pelbagai golongan pengguna terutamanya kepada anda yang gemar bermain permainan video. Nyalaan lampu RGB pada bahagian hadapan komputer riba ini menaikkan lagi aura “gaming” anda. Komputer riba ini juga dibina dengan skrin bersaiz 17.3 inci berbingkai nipis berjenis IPS-level yang beresolusi FHD 240hz dan menyokong hampir 100% sRGB. Pada bahagian bingkai di atas skrin terdapat kamera FHD yang menyokong untuk menghasilkan rakaman yang jelas beresolusi 1080p. Jadi, anda sekarang boleh membuat penstriman langsung dengan resolusi kamera yang lebih berkualiti tanpa memerlukan kamera tambahan, cukup sekadar kamera pada komputer riba GE76 Raider Edisi Aurora ini sahaja.

Papan kekuncinya dibina dari SteelSeries yang juga menyokong Per-Key RGB. Kombinasi ini menjadikannya amat sesuai untuk pemain permainan video dan juga penstrim yang mahukan pengalaman permainan yang lebih lancar kerana papan kekunci ini boleh dilaraskan fungsinya mengikut keselesaan anda. Bukan sekadar itu sahaja, pencahayaan pada papan kekunci ini juga boleh dilaraskan dengan menggunakan kawalan suara sahaja. Anda hanya perlu menyebut “Hi Lucky” untuk melaraskannya. Pelbagai mod disediakan bagi membantu prestasi permainan anda. Antaranya adalah Gaming Mode, kemudian MSI Companion yang membolehkan anda untuk menukar tetapan semasa permainan berlangsung, Crosshair yang membolehkan anda untuk fokus dan menembak dengan lebih tepat, Sound Tune iaitu fungsi pembatalan hingar yang dibantu oleh teknologi AI dan banyak lagi.

Boleh dikatakan prestasi laptop adalah yang paling penting dan di sini prestasi yang ditawarkan oleh MSI pada GE76 Raider Edisi Aurora ini juga tidak akan mengecewakan anda. Ia menggunakan cip pemproses Intel® CML-H Core™ i7-10870H, kad grafik NVIDIA® GeForce RTX™ 3070 Laptop GPU 8GB GDDR6, dan dwi slot 16GB DDR4-3200 RAM yang boleh dinaiktaraf sehingga 64GB dan 1TB Storan NVME PCIe Gen3 SSD. Cip pemprosesnya dikatakan mempunyai prestasi sehingga 50% lebih berkuasa dari Core 17-9750H dan kad grafiknya pula sehingga 10% berprestasi lebih baik kalau dibandingkan dengan RTX2080 Super pada generasi sebelumnya.

Malah, fungsi Resizable BAR juga dapat membantu untuk memberikan prestasi permainan yang lebih lancar. Hal ini adalah kerana fungsi ini merupakan fungsi PCI Express yang telah dinaiktaraf bagi membolehkan cip pemprosesan untuk mengakses keseluruhan penampan bingkai, sekaligus mempercepatkan penghantaran data kepada GPU dan dapat meningkatkan prestasi permainan komputer anda.

Kualiti audio juga tidak kurang pentingnya. Pada MSI GE76 Raider Edisi Aurora ini ia dibina dengan dua pembesar suara dan 2W Woofers yang mana kualiti audionya telah diiktiraf oleh Nahimic. Pengiktirafan ini wajar kerana MSI sendiri telah meletakkan fungsi Duo Wave yang direka oleh sistem Dynaudio dimana ia beroperasi untuk mengeluarkan bunyi daripada dua arah. Dengan sokongan ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kesan bunyi 3D yang lebih menyeronokkan untuk didengar apabila bermain permua.

Untuk anda yang gemar bermain permua dan menstrim video permainan anda, sudah tentu anda akan menggunakan komputer riba ini dalam satu tempoh masa yang lama. Namun dengan adanya bateri sebesar 99.9Whr yang hampir 2 kali ganda lebih besar dari generasi sebelumnya, kini ia tidak lagi menjadi masalah kepada anda untuk menggunakannya dalam tempoh masa yang panjang tanpa perlu mengecas. Kalau anda seorang yang sering menstrim permainan video dalam masa yang lama, anda semestinya akan menghargai kapasiti bateri seperti ini. Laptop berkuasa ini pula tidak terlalu berat dengan hanya seberat 2.9kg sahaja. Dari segi port pula anda tidak perlu risau kerana banyak port disediakan, iaitu 2 x USB type C, 3 x USB type A, Mini Display 1.4 , HDMI 2.1, bicu audio combo, pembaca kad SD dan RJ45.

Jika anda berminat dengan GE76 Raider Edisi Aurora ini, anda boleh dapatkannya dengan tanda harga RM9,999 melalui pengedar-pengedar rasmi MSI di seluruh Malaysia. Selain komputer riba ini, MSI juga turut menawarkan pelbagai model lain, antaranya adalah GS66 Stealth, GE66 Raider dan juga GF65 Thin dengan siri RTX3000. Untuk mengenali lebih lanjut tentang komputer riba ini, anda juga boleh melayari laman rasmi MSI.

Penafian: Advertorial daripada MSI Malaysia

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami