6 Komputer Riba Pilihan Sekitar RM2000 Untuk PdPR

Diterbitkan pada Feb 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sekolah-sekolah rendah dan menengah baru sahaja memasuki tahun pengajian baru, dan dengan wabak COVID-19 yang masih lagi membelenggu negara dan dunia, mereka dengan anak-anak yang masih lagi di alam persekolahan akan memerlukan sebuah peranti untuk digunakan buat tujuan tersebut.

Sebelum ini kami telah mengesyorkan 10 tablet mampu milik yang boleh dibeli pada harga dibawah RM1000. Walaupun begitu, kami sedar ada diantara anda yang lebih selesa menggunakan komputer riba, dan di dalam artikel ini kami akan mengesyorkan tujuh komputer riba pada harga sekitar RM2000.

Untuk senarai ini, terdapat beberapa perkara yang kami tekankan termasuklah penggunaan sistem operasi Microsoft Windows 10 untuk sokongan perisian yang terbaik dan mudah digunakan, memori DDR sekurang-kurangnya 4GB dan juga penggunaan storan SSD untuk memastikan komputer riba ini boleh menggerakkan beberapa perisian penting dengan jumlah sela-masa yang rendah.

1. Avita Pura A9 (RM1580)

WIndows 10 | 14 inci (1920×1080) | AMD A9 | 4GB DDR4 RAM + 128GB SSD | Webcam 720P

Avita mungkin tidak begitu dikenali ramai, tetapi ia adalah salah satu daripada jenama komputer riba produktiviti yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah perisian tugasan seperti Microsoft Office dan perisian telesidang seperti Google Meet, Microsoft Teams dan Zoom.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD A9, mempunyai memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan dalaman 128GB yang pada pendapat kami tidaklah begitu besar, tetapi memadai untuk tugas-tugas pembelajaran harian anak-anak.

Info lanjut: Avita Pura A9

2. Acer Aspire 3 AMD (RM1499)

WIndows 10 | 15.6 inci (1920×1080) | AMD Dwi-teras| 4GB DDR4 RAM + 256GB SSD | Webcam 720P

Acer ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam arena komputer riba tempatan. Selain daripada penawaran siri Swift mereka yang cukup berkuasa, mereka juga menawarkan siri komputer yang lebih mampu-milik melalui siri Acer Aspire mereka.

Model Acer Aspire 3 khusus ini dikuasakan dengan pilihan cip pemprosesan AMD, dan untuk tujuan pembelajaran di rumah, ia cukup berkuasa untuk menggerakkan perisian-perisian yang diperlukan.

Jika anda mempunyai duit untuk dibelanjakan untuk komputer riba yang lebih berkuasa, Acer Aspire 3 ini juga hadir dengan pilihan CPU Intel Tiger Lake yang lebih berkuasa.

Info lanjut: Acer Aspire 3

3. Teclast F7 (RM1699)

WIndows 10 | 14 inci (1920×1080) | Intel Celeron N4100 | 8GB DDR4 RAM + 256GB SSD | Webcam 720P

Teclast ialah jenama komputer riba dari China yang mendapat sambutan cukup tinggi kerana tanda harga mampu milik dan spesifikasi yang cukup baik untuk tujuan harian.

Ia dikuasakan CPU Intel Gemini Lake N4100, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD sebesar 256GB. Ia dilengkapi dengan paparan bersaiz 14 inci dan juga mempunyai webcam 2.0MP yang cukup baik untuk tujuan telesidang.

Jika diperlukan, komputer riba ini juga hadir dengan palam HDMI yang boleh digunakan untuk disambungkan kepada sebuah paparan lebih besar jika diperlukan.

Info lanjut: Teclast F7

4. Joi Book SK3000 (RM2199)

WIndows 10 | 12.5 inci (1920×1080) | Qualcomm Snapdragon 850| 4GB DDR4 RAM + 128GB UFS 2.1 | Webcam 720P

Komputer riba Joi Book SK3000 ialah komputer riba terbaru keluaran SNS Network yang berpengkalan di Ipoh, Perak. Ia hadir dengan paparan bersaiz 12.5 inci dengan resolusi Full HD.

Komputer riba ini hadir dengan beberapa ciri yang cukup unik. Walaupun ia menggerakkan sistem operasi Windows 10, ia dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 850, memori DDR4 sebanyak 4GB dan storan flash UFS 2.1 128GB.

JOI Book SD850

Harga komputer riba ini mungkin ia juga satu-satunya komputer riba dengan sokongan untuk kad SIM yang membolehkannya menggunakan rangkaian 4G secara terus.

Info lanjut: JOI Book SK3000

5. Microsoft Surface Go 2 (RM2299)

Windows 10 | 10.5 inci (1920×1080) | Intel Pentium Silver N5000 | 4GB DDR4 RAM + 64GB SSD | Webcam 720P

Secara teknikalnya, peranti Microsoft Surface Go 2 ini ialah sebuah tablet, tetapi sama seperti peranti tablet Surface yang lain, penggunaan produktivitinya adalah terbaik apabila digunakan bersama-sama dengan penutup papan kekuncinya.

Surface Go 2 dlengkapi paparan PixelSense 10 inci dengan resolusi 1920×1280, dan dikuasakan CPU Intel Pentium Silver N5000, memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan dalaman 64GB.

Ia juga adalah peranti yang paling mudah-alih di dalam senarai ini, dan masih lagi cukup berkuasa untuk menggerakkan perisian produktiviti dan telesidang tanpa begitu banyak masalah.

Info lanjut: Microsoft Surface Go 2

6. Dell Inspiron 15 (RM2379)

Windows 10 | 15.6 inci (1920×1080) | AMD Ryzen 3 3250U | 4GB DDR4 RAM + 256GB SSD | Webcam 720P

Dell Inspiron 15 ialah komputer riba yang paling mahal didalam senarai ini, tetapi juga boleh dikatakan mempunyai spesifikasi yang paling berkuasa juga.

Dilengkapi paparan 15.6 inci dengan resolusi Full HD, ia dikuasakan CPU AMD Ryzen 3 3250U, memori DDR4 sebanyak 4GB, dan gabungan storan SSD 256GB dan cakera keras 1TB.

Ia juga hadir dengan cip pemprosesan grafik terbina yang cukup berkuasa untuk memperlihatkan kandungan beresolusi tinggi jika diingini. Dengan pembaca kad SD, palam RJ-45 Cat-5 dan sejumlah palam USB, ini adalah komputer riba yang paling all-rounder di dalam senarai ini.

Info lanjut: Dell Inspiron 15

Ini sahaja senarai yang boleh kami berikan pada waktu. Jika anda tertanya-tanya mengapa kami tidak menyenaraikan lebih banyak model, ia adalah kerana akibat pandemik terdapat beberapa model yang memenuhi kriteria tetapi telah kehabisan stok. Kami juga tidak menyenaraikan model terpakai ataupun lama (seperti MacBook Air Intel misalnya) kerana harga jualan yang berbeza-beza serta diragui jaminan oleh penjual untuk jangka masa pendek. Diharap artikel ini dapat membantu mereka yang mencari komputer riba yang paling mampu milik sepanjang tempoh PKP yang dapat dilihat akan dilancarkan lebih lama.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami