Cari @ Amanz

Dalam dunia telefon pintar terdapat dua kem berbeza. Satu kem yang meminati gambar yang diambil kamera Apple kerana ia dikatakan paling asli kerana sama dengan subjek asal. Samsung pula akan menggunakan pasca proses untuk menghasilkan gambar lebih cantik tetapi tidak sama dengan objek sebenar. Mana satu lebih baik bergantung kepada pilihan peribadi setiap pengguna.

Kerana ini ialah isu pilihan peribadi, di masa hadapan kamera telefon pintar Samsung akan menghasilkan gambar berdasarkan pilihan pengguna. Ini didedahkan oleh presiden dan ketua perisian visual Samsung Mobile – Joshua Sungdae Cho dalam sebuah temuramah bersama Engadget. Menurut beliau di masa hadapan, aplikasi akan mempelajari apakah yang disukai oleh pengguna untuk menghasilkan gambar yang lebih memenuhi citarasa peribadi.

Samsung Galaxy Note 9

Ini dilakukan dengan melihat gambar yang disimpan dalam galeri. Kecerdasan buatan akan menganalisa subjek yang diambil, gambar yang dipadam kerana tidak memenuhi citarasa dan juga penuras yang digunakan untuk menghasilkan gambar yang dianggap cantik secara peribadi.

Joshua Sungdae Cho berkata aplikasi kamera yang mempelajari apa yang disukai pengguna ini masih lagi di peringkat pembangunan. Ia membuka pintu kepada kamera yang tidak lagi mengambil gambar menggunakan algoritma yang sama untuk setiap pengguna. Kekurangan pada waktu ini ialah NPU pada cip pemproses masih belum cukup berkuasa untuk menjadikan ia realiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd