Aplikasi Google Maps telah dikemaskini hari ini dengan ciri memaparkan peta jalan dan juga Street View secara serentak menerusi paparan split-view. Sebelum ini penggunaannya dilakukan secara berasingan sehingga sukar untuk melihat peta sebenar ketika memandu misalnya.

Untuk menggunakan ciri ini, aplikasi Google Maps perlu dikemaskini ke versi 10.59.1. Cara mengaksesnya adalah cukup mudah. Pilih lokasi anda ingin melihat Street View pada antaramuka peta. Tekan imej kecil Street View pada bucu bawah kiri aplikasi. Kini kedua-dua peta dan Street View akan dipaparakan serentak dengan Street View di bahagian atas dan peta di bahagian bawah.
Ciri ini masih belum diumumkan secara rasmi oleh Google Maps ketika artikel ini ditulis. Ia juga kami sedari hanya diaktifkan pada peranti Android tertentu sahaja. Oleh sebab itu jika anda tidak boleh mengaksesnya, anda mungkin perlu menantikan ia diaktifkan oleh Google kelak. Kami antara yang bernasib baik telah menerima ciri ini.