Cari @ Amanz

Kita sedia maklum, Samsung mempunyai beberapa siri untuk peranti mereka. Salah satu daripadanya adalah Galaxy A dan kita telah melihat puluhan model dilancarkan di bawah siri ini. Dalam perkembangan terkini, Samsung dikatakan mempunyai perancangan untuk hadir dengan penawaran peranti Galaxy A baharu menerusi model Samsung Galaxy A52.

Pelbagai spekulasi telah didengari mengenainya – tidak kira sama ada dalam bentuk imej pengolokan atau perkongsian maklumat. Pada masa sama, peranti ini juga dikatakan hadir dengan kemasan serba baharu dan bukannya lagi kemasan yang biasa kita nampak pada sejumlah peranti di bawah siri Galaxy A sebelum ini.

Perkongsian terkini daripada Evan Blass telah mendedahkan warna untuk peranti ini yang dilihat hadir dalam empat pilihan berbeza. Ianya termasuklah – Awesome Black, Awesome White, Awesome Violet dan Awesome Blue. Idea penampilan kemasan kali ini ternyata berbeza berbanding sejumlah model terdahulu. Dimulakan dengan kemasan yang ringkas, kemudiannya hanya menggunakan satu warna yang menyeluruh.

Samsung Galaxy A52 dipercayai hadir dalam dua versi berbeza iaitu 4G dan 5G. Ia dipercayai menggunakan cip Snapdragon 750G untuk versi 5G. Sementara, versi 4G dijangka menggunakan cipset yang berbeza. Kemudian, ia juga dipercayai dilengkapi RAM sebesar 6GB dan menjalankan sistem operasi Android 11. Buat masa ini, belum diketahui bilakah bilakah ia akan diperkenalkan secara rasmi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd