Cari @ Amanz

Aplikasi Your Phone dari Microsoft adalah aplikasi yang memudahkan pengguna peranti Android atau iOS membuat kawalan tertentu terus dari komputer riba Windows 10 masing-masing. Sudah tentu, iOS mempunyai fungsi yang lebih terhad – Android lebih menarik seperti boleh menjalankan aplikasi Android terus ke komputer.

Fungsi asas seperti membaca mesej, melihat notifikasi, mengawal panggilan telefon dan ada juga yang menyokong kawalan media turut ditawarkan. Pengguna Samsung mempunyai lebih banyak fungsi seperti boleh menjalankan sehingga 6 aplikasi Android serentak. Tetapi peranti lain masih dipinggirkan. LG, secara senyap hadir dengan versi alternatif untuk pengguna-pengguna peranti LG mereka.

LG baru-baru ini hadir dengan Virtoo. Ia menawarkan fungsi seakan Your Phone, tetapi LG bangunkannya sendiri tanpa bantuan Microsoft. Melihat mesej, panggilan telefon dan menjalankan aplikasi Android turut disokong. Aplikasi Virtoo dilihat ditawarkan di Play Store dan Microsoft Store. Untuk Android ia menyatakan memerlukan peranti Android 5.0 Lollipop ke atas.

Tetapi Virtoo menyatakan hanya peranti tertentu sahaja menyokong aplikasi ini. Berkemungkinan besar, hanya peranti-peranti terkini seperti siri Velvet? Jadi bagi mereka yang menggunakan peranti LG, Virtoo akan memudahkan lagi kerja multi-tugasan dan mungkin boleh tingkatkan produktiviti.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd