Oppo kini dalam persediaan untuk pengenalan penambahan peranti baharu di bawah siri Find X iaitu Oppo Find X3. Ia dikhabarkan bakal menjadi peranti daripada Oppo yang menggunakan cip Snapdragon 888.

Buat masa ini, Oppo masih belum memberikan petunjuk jelas mengenai bilangan model peranti yang bakal diperkenalkan. Tetapi, spekulasi awal mendakwa Oppo mungkin memperkenalkan sekurang-kurangnya empat model – Oppo Find X3, Oppo Find X3 Pro, Oppo Find X3 Neo dan Oppo Find X3 Lite. Pada masa sama, Oppo juga masih berteka-teki mengenai tarikh pelancaran peranti – sebaliknya hanya memaklumkan bahawa ia dijangka hadir sekitar bulan Mac kelak.

Kalau anda perasan, sebelum ini salah satu daripada model ini iaitu Oppo Find X3 Pro didapati tertiris dalam beberapa imej pengolokan. Terkini, peranti berkenaan dilaporkan telah diperlihatkan dalam imej sebenar pula.
Maklumat ini diperoleh hasil daripada perkongsian Evan Blass menerusi laman Voice. Ia memperlihatkan rekaan yang sama seperti imej pengolokan tular sebelum ini. Selain itu, rekaan modul kamera unik ini juga mungkin dikenali sebagai “Crater Design“.

Menerusi perkongsian berkenaan juga, tetapan kamera utama untuk peranti ini dikhabarkan terdiri dengan dua lensa 50-Megapixel (Sony IMX766) untuk sensor utama dan sudut-lebar. Kemudiannya, ia diiringi dengan lensa 3-Megapixel untuk makro dan 13-Megapixel untuk sensor telefoto dengan kebolehan 2X zum optikal.