Xiaomi Mula Menghalang Pemasangan GMS Pada Peranti Versi China – Bermula Dengan MIUI 12.5

Xiaomi Mula Menghalang Pemasangan GMS Pada Peranti Versi China – Bermula Dengan MIUI 12.5

Diterbitkan pada Feb 3, 2021 oleh .

Xiaomi adalah antara jenama yang digemari ramai, kerana harga jualan peranti yang masih mampu milik. Tidak kira dari jenama Xiaomi sendiri atau Redmi atau juga Poco, pasti akan ada peminat bagi peranti yang menjalankan sistem operasi MIUI ini.

Tidak semua peranti Xiaomi dijual secara meluas, ada juga yang dijual secara import kerana Xiaomi Malaysia kadangkala lambat membawa masuk sesebuah peranti atau sesuatu peranti itu memang dipasarkan secara eksklusif di China sahaja. Di China, semua peranti MIUI menjalankan MIUI versi China yang tiada GMS. Pengguna perlu bergantung kepada gedung aplikasi China Xiaomi atau gedung aplikasi pihak ketiga.

Bagi pengguna yang membeli set import, biasanya peranti akan digantikan dengan ROM versi global. ROM ini pula bergantung kepada pasaran peranti, jika tiada versi global – perisian akan terhad kepada bahasa China sahaja. Jika ini yang berlaku, pengguna perlu memasang GMS dengan tersendiri. Pemasangan GMS juga adalah ringkas. Ada aplikasi yang dinamakan Xiaomi Google Installer, di mana tekan sekali dan ia akan memuat turun fail APK tertentu untuk menjalankan GMS dan memasangnya secara automatik. Pengguna hanya perlu membenarkannya sahaja.

Ada kalanya, pengguna hanya perlu memasang fail APK Google Play Store kerana sistem MIUI China sudah mempunyai GMS terpasang secara teus dari sistem tetapi dinyah-aktifkan. Terkini dalam MIUI 12.5, Xiaomi mula menghalang pemasangan GMS dari pihak ketiga. Ramai yang menjangka ia akan tiba pada peranti baharu sahaja, tetapi  Redmi K30 Ultra dan Redmi 10X 5G yang telah dikemaskini dilihat sudah mempunyai halangan ini.

Ini bermakna, pengguna selepas ini tidak lagi boleh membeli set import versi China kerana tiada lagi kaedah pemasangan GMS yang boleh dilakukan. Dengan ketiadaan MIUI versi beta untuk pengguna global, pengguna yang membeli set import harus bergantung kepada versi China sahaja selepas ini atau nantikan custom ROM MIUI Xiaomi.eu. Cara lain adalah nantikan sahaja peranti versi global dilancarkan.


Paling Popular