Apple Bersetuju Melabur RM363 Juta Di Korea Selatan Kerana Kesalahan Anti Persaingan

Apple Bersetuju Melabur RM363 Juta Di Korea Selatan Kerana Kesalahan Anti Persaingan

Diterbitkan pada Feb 4, 2021 oleh .

Di Korea Selatan, Apple telah disiasat oleh Suruhanjaya Perdagangan Bebas (FTC) kerana didakwa melakukan amalan perniagaan yang anti persaingan. Selepas hampir lima tahun, pihak FTC akhirnya bersetuju menerima bayaran bernilai 100 bilion Won (~RM363 juta) dari Apple untuk menyelesaikan kes yang membabitkan kesalahan amalan perniagaan yang anti pesaing ini.

Apple disiasat kerana didakwa memaksa tiga syarikat telekomunikasi utama Korea Selatan untuk memesan sejumlah peranti pada jumlah minima, membayar sebahagian kos pengiklanan dan juga membayar sebahagian kos baik pulih di negara tersebut. Tindakan ini dilihat sebagai tidak menggalakkan persaingan dari pengeluar peranti lain yang tidak mampu melakukan perkara yang sama.

Apple iPhone 12

Dari 100 bilion Won ini, 40 bilion Won (~RM145 juta) akan digunakan untuk membina pusat kajian dan pembangunan untuk syarikat kecil tempatan dalam sektor penghasilan telefon pintar. 25 bilion Won (~RM91 juta) lagi ialah bagi menawarkan potongan 10% ke atas kos gantian dan jaminan peranti kepada pelanggan.

Sebanyak 25 bilion Won (~RM 91 juta) pula diberikan kepada pembinaan pusat pengajian dan latihan pembangun ICT dan akhir sekali 10 bilion Won (~RM36 juta) bagi menyokong pembelajaran digital di sekolah dan prasarana awam.

Ini bukanlah kali pertama Apple ditegur oleh suruhanjaya perdagangan. Pada tahun 2018, syarikat telekomunikasi Jepun dilarang dari menawarkan pakej khas untuk membeli iPhone kepada pelanggan. Kerana harga jualan iPhone yang disubsidi untuk lebih murah, pengeluar lain tidak mampu bersaing dan pengguna dilihat tidak diberikan pilihan yang sebaiknya.


Paling Popular