Carian
Tentera A.S Menguji Gimbal Penstabilan Raifal Untuk Anggota Pasukan Khas
February 4, 2021 • Effi Saharudin

Dunia sebenar semakin menghampiri dunia fiksyen sains. Dalam dunia ketenteraan pula, semakin banyak ciri mustahil dar permainan video sedikit sebanyak digunakan di dunia sebenar seperti rangka luaran misalnya. Bagi anggota pasukan khas Tentera Amerika Syarikat pula, ciri permainan video yang kelak menjadi realiti ialah gimbal penstabilan raifal.

Aim Control Enhancer (ACE) ialah peranti yang disambungkan di bawah muncul raifal. Ia menstabilkan raifal ketika anggota sedang melakukan bidikan pada musuh. Seperti gimbal kamera yang wujud di pasaran, pergerakan mendatar dan menegak dapat dikurangkan oleh ACE. Menurut pereka, ACE boleh mengurangkan kadar goyangan di antara 60-80%. Pihak Tentera A.S berharap ini dapat meningkatkan ketepatan anggota pasukan khas mereka ketika melakukan misi.

Pada asalnya ACE dibangunkan untuk projek Special Operations Command’s Tactical Assault Light Operator Suit (TALOS) – yang ingin memodenkan kelengkapan sedia ada. Projek telah dihentikan tetapi ACE dilihat mempunyai potensi dan dimasukkan pula ke dalam projek Next Generation Squad Weapons (NGSW).

Setiap ACE hanya seberat 250 gram dan mampu beroperasi selama lima jam menggunakan dua bateri bersaiz CR 123. Kos penghasilan setiap ACE pula dianggarkan sekitar $1000 (~RM4000) sebuah.

Ini bukan satu-satunya sistem penstabilan yang sedang diuji Amerika Syarikat untuk kegunaan tentera pasukan khas. Turut diuji tahun lalu ialah SMASH 2000 keluaran Israel yang berfungsi seakan aimbot kerana melakukan kira-kira di mana skop perlu dibidik untuk menembak musuh yang sedang bergerak.

Komen