Lagi maklumat mengenai set kepala realiti terimbuh Apple Glass tertiris minggu ini dan kali ini ia datang dari laman The Information. Kaca mata ini dipercayai akan dilancarkan seawal 2022 dengan dua skrin beresolusi 8K digunakan sebagai paparan utama. Bahagian hadapan dipercayai melengkung dengan lebih dari 12 kamera digunakan.

Dengan dwi-skrin beresolusi 8k. paparan yang realistik tanpa kesan pintu skrin dapat dinikmati. Penggunaan kamera yang banyak ini ialah bagi membolehkan pergerakan tangan dijejak dengan tepat, menjejak kedudukan pemakai di dunia sebenar dan mungkin juga untuk menjejak pergerakan mata. Lakaran di atas dihasilkan berdasarkan makumat yang diketahui setakat ini.
Bahagian tali pengikat mirip digunakan pada Apple Watch manakala kusyen pada bahagian mata pula mirip yang ditemui pada AirPods Max. Terdapat butang kawalan beroda pada bahagian sisi dengan alat kawalan tambahan yang boleh dipegang apabila diperlukan.
Akhir sekali Apple dipercayai di peringkat prototaip akhir pada waktu ini dengan jualan dijangka pada tahun 2022. Set AR generasi pertama ini turut diramalkan dijual pada harga sekitar $3000 (~RM12,000) sebuah sebelum model lebih mampu milik ditawarkan pada tahun 2023.