Carian
Tingkap Redam Bunyi Dengan Sistem Pengudaraan Terbina Dibangunkan Di Singapura
February 5, 2021 Effi Saharudin

Ramai di kalangan pembaca pastinya sudah membiasakan diri bekerja dari rumah. Walaupun mungkin lebih selesa, isu yang kami hadapi sendiri ialah bunyi bising dari lebuh raya yang terletak di sebelah rumah. Tingkap perlu ditutup sepanjang masa tetapi ini mengakibatkan bilik pula terasa kepam kerana tiadanya aliran udara.

Ini bukanlah isu baharu tetapi penyelesaiannya masih belum wujud di pasaran kecuali membeli mesin pendingin hawa. Di Singapura, penyelidik dari National University of Singapore (NUS), berjaya menghasilkan tingkap Acoustic Friendly Ventilation Window (AFVW) yang meredam bunyi tetapi masih boleh membenarkan udara dari luar mengalir.

Ini dilakukan dengan meletakkan sebuah kipas pada struktur dalaman bingkai tingkap. Kemudian sirip udara pengudaraan diletakkan pada sudut tertentu yang menghalang bunyi luaran dari masuk ke ruang rumah. Menurut mereka pengurangan bunyi bising sehingga 26 dB dapat dilakukan oleh tingkap ini.

Pada waktu yang sama AFVW mampu memberikan pengudaraan yang empat kali ganda lebih baik berbanding tingkap pasif dengan saiz yang sama. Jadi mengapa tingkap ini dibangunkan? Ia ke arah Singapura yang lebih bijak menguruskan tenaga.

Seperti kami katakan tadi penyelesaian selama ini ialah menggunakan mesin pendingin hawa yang memerlukan kuasa elektrik yang tinggi di samping menghasilkan bunyi bising dari sistem pemampat udara di luar rumah. AFVW menyelesaikan masalah rumah yang panas di Singapura tanpa menambah pencemaran udara (kerana stesen elektrik menggunakan bahan api fosil) dan bunyi.

Komen