Ketika pandemik ini ribuan manusia meninggal dunia kerana komplikasi diakibatkan oleh virus Covid-19. Di seluruh dunia, kawasan perkuburan yang semakin penuh sehingga tidak lagi mampu menampung kematian menjadi isu utama. Di New York misalnya, mayat mangsa Covid-19 ditanam bertingkat kerana terdesak. Mungkin antara penyelesaiannya ialah dengan tidak membazir ruang tanah sedia ada.

Di San Francisco, Amerika Syarikat sebuah syarikat kini menawarkan perkhidmatan mengubah mayat manusia menjadi kompos. Firma Recompose membina sebuah bangunan yang diberi nama The Greenhouse dengan 10 pod untuk mayat.
Menurut mereka, mayat seorang individu akan dapat diurai dalam masa 30 hari di dalam pod yang dipenuhi serbuk kayu, alfalfa dan jerami. Tiada bahan kimia diperlukan sebaliknya bakteria semula menguraikan tubuh secara semula jadi. Sisa yang tertinggal akan digunakan semula sebagai kompos bagi membaja tumbuh-tumbuhan.

Setiap pod berbentuk heksagon sebesar 10×4 kaki ini boleh disusun bertingkat bagi membolehkan fasiliti menampung ratusan mayat manusia untuk diproses. Sejak dibuka pada Disember 2020, The Greenhouse telah memproses 10 mayat dengan bayaran $5,500 (~RM23,000) seorang. Selepas diproses, setiap tubuh akan menghasilkan sekitar 0.76 meter padu kompos. Ia kemudiannya boleh didermakan kepada taman-taman atau dipulangkan semula kepada ahli keluarga.
Di negara Barat, gerakan pengebumian yang lebih lestari berkembang pesat kerana jasad yang diawet mencemarkan tanah dan sumber air sekiranya tidak diuruskan dengan betul. Tiga tahun lalu kami ada melaporkan Mushroom Death Suit yang merupakan kain kafan yang menguraikan jasad menggunakan cendawan.