Xiaomi sebelum ini telah menyatakan yang mana pengguna tidak lagi boleh memasang GMS (Google Mobile Services) pada telefon Xiaomi versi China. Apa pun, perkara ini telah disalah ertikan oleh beberapa pihak mengatakan Xiaomi tidak akan menyokong GMS lagi seperti Huawei.
Terbaru, Xiaomi memberikan penerangan lanjut, mengatakan mereka hanya tidak membenarkan pengguna memasangnya sendiri – sebaliknya Xiaomi masih akan teruskan menjual telefon pintar bersama GMS untuk pasaran global.
Xiaomi mengatakan pemasangan GMS, akan menggunakan storan sekitar 700MB dan memori sebanyak 200MB. Selain itu, sekiranya pemasangan sendiri dilakukan oleh pengguna, ia mungkin akan membawa kepada penggunaan memori dan kuasa yang tinggi – sekaligus tidak menawarkan pengalaman penggunaan peranti yang baik kepada orang ramai.

Disebabkan itu, ada baiknya Xiaomi menjual set yang dioptimasikan khusus bersama GMS untuk pasaran global – dan meminta pengguna untuk tidak memasang sendiri.
Disamping itu, walaupun tidak dinyatakan, beberapa perkara lain turut menjadi persoalan apabila pengguna memasangnya sendiri – termasuk dari segi privasi dan sekuriti, memandangkan kaedah berkenaan tidak disokong oleh Google sendiri.
Seperti biasa, untuk mendapatkan pengalaman menyeluruh, anda dinasihatkan untuk mendapatkan set global versi rasmi, dan tidak mendapatkan set import yang ditambah perisian oleh pihak ketiga.