Cari @ Amanz

Samsung Galaxy F62 bakal menjadi peranti Samsung yang seterusnya di bawah siri Galaxy F. Pelbagai maklumat tertiris mengenai spesifikasi telah didengari – termasuklah menggunakan empat kamera utama, dijana cip Exynos 9825 (7nm), dibekalkan bateri besar 7,000mAh dan banyak lagi.

Namun, apa yang menjadi persoalan adalah berkaitan tarikh pelancarannya dan kini ia telah disahkan hadir secara rasmi pada 15 Februari 2021. Maklumat ini diperoleh menerusi poster acah di laman Flipkart dan pada masa yang sama ia turut mendedahkan rekaan penuh pada peranti.

Jelas kelihatan, ia disertakan modul kamera berbentuk segi empat dengan kuad-kamera utama. Dalam pada itu, ia juga hadir dengan panel hadapan berlubang pada bahagian tengah untuk kamera swafoto dengan lensa tunggal. Seterusnya, ia juga memberi bayangan bahawa bakal menggunakan trend dua tona warna.

Untuk spesifikasi, peranti ini dipercayai menggunakan paparan AMOLED bersaiz 6.7-inci, kamera utama 64-Megapixel, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan menggunakan OneUI 3.1. Seperti biasa, penawaran lanjut bakal terjawab ketika pelancaran rasmi kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd