ASUS ROG Flow X13 Dan eGPU XG Mobile Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM5999

Diterbitkan pada Feb 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sewaktu acara Consumer Electronics Show yang berlangsung pada bulan Januari, ASUS telah melancarkan sejumlah komputer riba gaming Republic of Gamers yang dikuasakan oleh gabungan CPU AMD dan GPU NVIDIA terbaru, dan diantaranya ialah ASUS ROG Flow X13.

Keunikan komputer riba ini hadir melalui rekaannya, yang boleh dikatakan komputer riba gaming paling nipis keluaran ASUS pada, disamping menggunakan paparan panel IPS 13.4 inci dengan pilihan resolusi WUXGA ataupun WQUXGA pada kadar segar semula maksima 120Hz.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 7 5800H ataupun AMD Ryzen 9 5900HS, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan dalaman sebesar 1TB. Dari segi GPU, ia dilengkapi dengan NVIDIA GeForce GTX 1650 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan beberapa permainan pada resolusi Full HD dengan cukup baik.

Akan tetapi, selain daripada kebolehannya untuk digunakan sebagai sebuah tablet berkuasa, ia juga hadir dengan gimik unik terbaru keluaran Republic of Gamers, iaitu sokongan untuk eGPU XG Mobile.

Untuk pasaran Malaysia, XG Mobile ini akan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080, dan boleh disambungkan kepada Flow X13 melalui sebuah palam yang menyokong sambungan PCIe3.0 x8 yang membolehkan komputer riba ini menggerakkan permainan pada resolusi dan tetapan tinggi.

Kad grafik ini juga dilengkapi dengan sejumlah palam video dan juga USB tambahan yang membolehkan pengguna menggunakan gabungan komputer riba ini sebagai sebuah desktop dengan rekaan yang lebih padat.

Menurut ASUS Malaysia, ROG Flow X13 ini akan memasuki pasaran tempatan pada awal bulan Februari, pada harga RM6499 untuk model tanpa eGPU XG Mobile.

Untuk model Flow X13 berharga RM5999 dan model yang dijual bersama-sama dengan XG Mobile pada harga RM13,499, ia akan tiba di pasaran pada penghujung bulan Februari kelak. Buat masa ini, ASUS Malaysia mengatakan mereka tiada pelan untuk menjual eGPU XG Mobile ini secara kendiri.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami