Twitter sedia melihat kepada beberapa kaedah dalam memastikan platform mereka menjana keuntungan. Terbaru, menurut laporan Bloomberg, Twitter sedang melihat kepada penawaran perkhidmatan berasaskan langganan dalam menjana pendapatan – dan tidak bergantung kepada pengiklanan seperti beberapa media sosial yang lain.
Salah satu perkara yang dipertimbangkan adalah dengan memperkenalkan pelan berbayar untuk menggunakan Tweetdeck.
Untuk makluman, Tweetdeck merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Twitter untuk pengguna tegar mereka. Ia menawarkan akses kepada sejumlah garis masa dengan mudah, selain membolehkan pengguna menggunakan multi-akaun dan menguruskan akaun sosial dengan mudah menggunakannya.
Sehingga kini, Tweetdeck ditawarkan secara percuma, dan bebas daripada pengiklanan.
Ia tidak diketahui lagi apakah pelan yang akan ditawarkan – tetapi tidak mustahil pengguna tegar Twitter membayar untuk menggunakannya.
Disamping itu, Twitter turut telah mengambil-alih perkhidmatan buletin emel Revue baru-baru ini, yang akan membolehkan pengguna menawarkan langganan emel untuk kandungan yang lebih panjang – serta mengecaj pengguna untuknya.
Pada masa yang sama, spekulasi turut mengatakan Twitter mungkin memperkenalkan ciri akaun berbayar yang menawarkan perkhidmatan mereka secara bebas iklan – seperti dilakukan oleh YouTube dan Spotify.
Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah kejutan baru yang bakal ditawarkan Twitter dalam memastikan perkhidmatan mereka kekal berjalan lancar dan menjana pendapatan melaluinya.