Ulasan Realme X7 Pro – Kehebatan Cip MediaTek Semakin Menyerlah

Ulasan Realme X7 Pro – Kehebatan Cip MediaTek Semakin Menyerlah

Diterbitkan pada Feb 10, 2021 oleh .

MediaTek adalah jenama cip pemprosesan yang tidak digemari ramai. Ini kerana sokongannya terhad, tidak begitu efisien dan ada banyak masalah. Tetapi, MediaTek mula berubah sejak mereka memperkenalkan cip pemprosesan siri P. Itu pun masih tidak memuaskan, tetapi hati mula boleh menerima penawaran MediaTek. Lalu, muncul pula cip dalam siri Dimensity yang lebih bersaing sengit dengan cip Snapdragon 7xx dan 8xx.

Apa yang tinggal adalah pengoptimasian daripada pengeluar peranti untuk memanfaatkan kehebatan cip MediaTek Dimensity ini. Sejak kebelakangan ini, Realme mula menawarkan peranti yang dijana dengan cip ini. Antaranya adalah Realme 7 5G dan yang terkini Realme X7 Pro. Kami sudah menguji kedua-dua peranti ini, Realme 7 5G yang bersaing dengan peranti Snapdragon 765G dan Realme X7 Pro pula bersaing dengan peranti Snapdragon 865. Persoalannya, adakah benar cip ini berkuasa? Saya menjadikan Realme 7 5G sebagai peranti harian saya, ini adalah artikel ulasan.

Baca Perbandingan Cip MediaTek Dimensity 1000+ vs Snapdragon 865 Di Sini


Spesifikasi Dan Rekaan

Realme X7 Pro
Skrin6.55″ Super AMOLED, 120Hz, FHD+, ~402 ppi
PemprosesMediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
Cip4 x 2.6 GHz Cortex-A77
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB UFS 2.1
Kamera Utama64MP (Utama) f/1.8
8MP (Ultra Sudut Lebar) f/2.3, Sudut Pandangan 119°
2MP (Makro) f/2.4
2MP (Kedalaman) f/2.4
Kamera Swafoto32MP, f/2.5
Bateri4,500mAh
Berwayar
SuperDart Charge 65W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM1,999

Sekali imbas, spesifikasi peranti ini mirip dengan Oppo Reno5. Tetapi Oppo Reno5 dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 765G. Realme X7 Pro dijana dengan cip MediaTek Dimensity 1000+ yang mana didakwa adalah pesaing kepada Snapdragon 865. Dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB UFS 2.1 dan menggunakan GPU Mali-G77 MC9. Cip ini menggunakan binaan 7nm, yang mana antara binaan yang paling efisien, jimat penggunaan berkuasa dan lebih hebat jika dibandingkan dengan binaan 10nm atau yang berbelas nm.

Di atas kertas, benar cip ini amat berkuasa. Tetapi bagaimana di dunia realiti? Kami menguji cip ini, ia masih berada di bawah Snapdragon 865. Tetapi ini mungkin hanya pengoptimasian Realme UI. Tiada peranti lain di Malaysia yang dijana dengan cip ini, jadi sukar untuk nilaikan salah Realme atau salah MediaTek yang cip ini masih tidak mampu bersaing dengan peranti Snapdragon 865 lain.

Untuk skrin, peranti ini menggunakan Super AMOLED 6.55-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dan resolusi FHD+. Kamera adalah tetapan kuad-kamera 64MP (Utama) f/1.8, 8MP (Ultra Sudut Lebar) f/2.3, Sudut Pandangan 119°, 2MP (Makro) f/2.4 dan 2MP (Kedalaman) f/2.4. Kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.5. Spesifikasi kamera lebih kurang juga dengan Oppo Reno5.

Beralih ke rekaan, sekali lagi ia mirip dengan Oppo Reno. Cuma Oppo menang, kerana panel belakang yang cantik dan unik. Realme hanya menggunakan warna cerun biasa yang berkilat dengan kemasan licin. Paling menjengkelkan adalah tulisan “Dare To Leap” memenuhi panel belakang. Bentuk modul kamera yang mirip dengan Oppo, tetapi Oppo tampak lebih premium dan ada kelas kerana rekaan setiap lensa yang lebih menyerlah.

Di sisi peranti hanya ada butang kuasa dan sisi lagi satu adalah butang aras suara. Tiada port bicu audio 3.5mm ditawarkan, pembesar suara adalah stereo dan mempunyai kapasiti bateri 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W SuperDart Charge.

Penggunaan Dan Perisian

Skrin pada peranti ini adalah sangat hebat. Pertama kali secara peribadi saya gemar dengan skrin kadar segar semula pada sesebuah peranti Realme. Tetapan 120Hz yang disokong pada peranti ini ibarat menggunakan peranti yang lebih mahal. Ia sangat lancar, pantas dan amat memuaskan. Ia ibarat pertama kali mencuba peranti dengan skrin kadar segar semula, seperti pertama kali saya cuba skrin 90Hz pada OnePlus 7 Pro. Mengejutkan!

Tetapi sayang sekali, warna skrin ini tidak begitu menyerlah dan skrin peranti ini tidak begitu cerah. Warna skrin peranti ini tidak cukup menarik, ia seakan warna yang diterangkan sahaja menggunakan penuras. Ia terlebih tajam dan tidak memelihara butiran dengan baik. Mungkin inilah pengorbanan yang harus dihadapi untuk skrin yang lancar? Walau bagaimanapun, menonton video tidak menjadi masalah. Hanya pada aplikasi dan pelancar sahaja ada masalah ini. Netflix, YouTube malah Disney+ juga cantik sahaja. Ia sepadan dengan peranti skrin AMOLED yang berharga bawah RM2000.

Mungkin ini hanya masalah perisian? Bercakap mengenai perisian, peranti ini masih menjalankan sistem operasi Realme UI berasaskan Android 10. Agak mengecewakan peranti yang dibawa masuk tahun 2021 masih menggunakan sistem operasi tahun 2020. Tetapi seperti ColorOS, peranti ini turut cuba menawarkan pengalaman penggunaan menghampiri Android asli. Antaranya banyak aplikasi Google hadir secara terbina dan beberapa elemen Android 10 asli diintegrasikan bersama.

Pengalaman penggunaan Realme UI masih sama dengan ColorOS. Walaupun Realme mendakwa yang Realme UI adalah sistem operasi mereka tersendiri. Mungkin buat masa ini, apa yang mereka maksudkan adalah pembangunan untuk kemaskini atau pengoptimasian dari ColorOS ke peranti Realme? Jadi, apa yang anda lihat pada Realme UI pada mana-mana peranti Realme lain atau Color OS berasaskan Android 10 pada peranti-peranti Oppo lain – itulah yang anda dapat lihat dalam peranti ini.

Realme UI masih mempunyai banyak aplikasi gendut terbina. Ini adalah antara penyebab pengoptimasian sistem operasi ini tidak memuaskan dan menyebabkan masalah berlaku. Walaupun begitu fungsi seperti mod tema gelap, Realme Share, Focus Mode, Icon Customisable, Smart Driving dan banyak lagi sedia membantu pengguna untuk menambahkan pengalaman penggunaan yang menyeronokkan.

Realme UI cukup lancar jika digunakan untuk bersahaja, tetapi apabila mula bermain permua, ia menjadi bermasalah. Sistem kerap tergendala seperti masalah lengah masa, skrin tidak boleh disentuh, ada sela masa antara mengimbas cap jari dan pergi ke skrin utama dan banyak lagi. Masalah ini bukan berlaku pada ketika bermain permua sahaja. Malah, apabila peranti tidak disentuh sekitar 30 minit sehingga 1 jam – ia turut mengalami masalah lengah masa yang serius.

Prestasi Dan Skor Penanda Aras

Bermain permua pada peranti ini memberikan pengalaman yang berbeza. Contohnya, apabila bermain permua seperti PUBG Mobile ia boleh bermain pada tetapan High sahaja. Pengalaman bermain cukup memuaskan, tetapi selepas sekitar satu sesi – ia mula memanas. Tetapi tidak begitu panas, kerana peranti masih boleh dipegang dan dikendalikan dengan baik. Tetapi selepas bermain Genshin Impact , ia terhad pada 60FPS sahaja. Kemudian sepanjang tempoh bermain ia sediki tersangkut-sangkut dan peralihan animasi agak aneh dan seakan tidak permua itu ada pepijat grafik. Hanya 10-15 minit bermain, peranti mula memanas sehingga tidak selesa untuk dipegang.

Bukan itu sahaja, dalam ujian Don’t Kill My App untuk melihat pengurusan memori. Peranti ini agak lemah. Ia tidak mampu mengendalikan banyak aplikasi serentak. Skor hanya 58% sahaja. Boleh jadi 8GB RAM tidak mencukupi untuk cip ini dan boleh jadi juga penggunaan storan dalaman UFS 2.1 bukan pilihan bijak.

Skor tanda aras pula adalah 509498 daripada AnTuTu, manakala Geekbench 5 pula memperoleh 766 untuk satu teras dan 2758 untuk multi-teras. Skor mencapai 500K adalah setaraf Snapdragon 865, tetapi masih tidak cukup hebat kerana kebanyakannya adalah sekitar 550k.

Telefoni Dan GPS

Walaupun sekarang pasaran tempatan mula dibanjiri dengan peranti yang menyokong rangkaian 5G, 5G masih belum boleh digunakan di Malaysia. Tetapi tidak bermakna modem 5G terbina itu tiada fungsi. Dalam pengalaman saya, kawasan yang ada masalah dengan 4G menggunakan peranti 5G tiada lagi masalah. Sambungan ke Internet lebih stabil dan sedikit lebih pantas. Contohnya di rumah saya, 4G hanya 1 bar pada jika menggunakan peranti 4G biasa. Tetapi Relame X7 Pro ini mampu menerima 3 bar.

Panggilan telefon pula baik sekali, tanpa ada masalah bunyi bising atau angin yang kuat. Pemanggil katakan suara saya cukup jelas. Untuk GPS pula, peranti ini tiada masalah dalam GPS yang serius. Ia hanya mengambil masa sedikit lama untuk mengunci lokasi. Lain-lain baik sekali!

Kamera

Tetapan kuad-kamera pada peranti ini adalah lensa utama 64MP dengan bukaan f/1.8 dipadankan dengan lensa sudut ultra lebar 8MP dengan bukaan f/2.3 yang mempunyai sudut pandangan 119° darjah ditambah pula dengan dua pasang lensa 2MP dengan bukaan f/2.4 makro dan kedalaman. Untuk kamera swafoto, lensa 32MP dengan bukaan f/2.5 disertakan. Tidak pasti jika peranti Realme menggunakan aplikasi kamera yang sama dengan Oppo, iaitu mempunyai API Google CameraX. Tetapi kualiti kamera Realme X7 Pro ini agak baik.

Tetapi hanya lebih kepada fotografi sahaja. Untuk video, peranti ini masih mempunyai kualiti “Realme”. Mana-mana peranti kelas pertengahan premium atau peranti mercu Realme mempunyai kualiti kamera yang lebih kurang. Warna tidak begitu menyerlah, butiran tidak begitu dipelihara dan pada resolusi tinggi ia kelihatan sedikit janggal.

Untuk fotografi, kualitinya agak menakjubkan. Ia mempunyai kualiti yang memuaskan. Warna tidak begitu pudar, mempunyai pencahayaan yang baik serta cukup cerah. Butiran juga dipelihara dengan agak baik, jika anda lihat pada imej bokeh – ia lebih jelas yang ada banyak perkara yang sudah ditambah baik. Kini ia lebih kemas, jelas dan memuaskan.

Imej mod malam, di mana suasana yang gelap kalau ada sedikit sumber cahaya – mod ini amat membantu dan hasilnya boleh diterima. Tetapi jika terlampau gelap, hingar yang banyak terhasil menjadikan hasil imej tidak cantik. Untuk mod sudut ultra lebar pula, butirannya biasa sahaja tidak begitu menyerlah. Ia sekadar ada, tetapi hanya boleh diterima jika terang – kerana jika suasana gelap hasilnya tidak boleh diterima.

Untuk hasil gambar swafoto, hasilnya seperti kebanyakan peranti Oppo. Ia mempunyai mod kecantikan yang tidak boleh dipadam, walaupun sudah tetapkan pada aras sifar. Berbanding dengan Oppo. Realme lebih putih, lembut dan terang.

Keseluruhan, kamera peranti ini boleh diterima. Untuk kategori peranti ini, ia berada di golongan yang – jika anda peminat Realme peranti ini cukup baik. Tetapi jika anda tidak hiraukan jenama, kamera Xiaomi Mi 10T Pro lebih baik.

Audio

Realme X7 Pro menawarkan pembesar suara stereo. Tetapi sayangnya, kualiti pembesar suaranya tidak begitu menarik dan tidak memuaskan. Pembesar suara peranti ini sekadar set pembesar suara yang kuat. Ia terlampau rata dan tidak ada definisi untuk butiran tertentu. Tiada bass, tiada kesan audio yang menarik dan membuatkan saya sendiri ingin gunakan set fon telinga sentiasa. Disebabkan tiada port bicu audio, terpaksalah saya gunakan set TWS.

Saya lebih gemar jika pembesar suaranya tidak cukup kuat, tetapi mempunyai kualiti audio yang sedikit lebih baik. Apabila aras suara ditetapkan pada 100%, muzik akan kedengaran sedikit bingit dan sakit telinga. Jalan penyelesaian saya adalah dengan sentiasa tetapkan pada 40%, untuk jadikan peranti ini sekadar mengeluarkan bunyi sahaja. Sepanjang penggunaan peranti ini, saya banyak gunakan set fon telinga USB-C OnePlus dan TWS Jabra Elite 85t.

Bateri

Seperti ColorOS, Realme UI juga tidak boleh membaca jumlah SOT. Bateri pada peranti ini baik-baik sahaja. Ia tidak begitu hebat kerana tidak tahan lama dan bateri habis dengan pantas sekali walaupun tidak kerap menggunakan peranti ini. Dalam penggunaan saya, Realme X7 Pro boleh bertahan sekitar 5 jam SOT (kiraan manual) untuk penggunaan ringan. Kemudian jika menggunakan untuk menstrim, banyak menggunakan data, hotspot, sedikit permua, lakukan suntingan – ia boleh bertahan sekitar 3-4 jam sahaja.

Secara peribadi, saya dari dahulu lagi tidak begitu hiraukan peranti yang mempunyai bateri yang lemah. Tetapi jika ia hebat dan mampu bertahan lama, sudah tentu saya bersyukur. Dengan era pengecasan pantas semakin hebat, stabil dan efisien – rasa tidak sedap hati dengan bateri yang lemah sepatutnya tiada lagi. Realme X7 Pro hadir dengan sokongan pengecasan pantas 65W SuperDart. Ya, ia hanya SuperVOOC 2.0 65W. Sama juga dengan OnePlus Warp Charge 65W.

Peranti ini boleh dicas dari 0%-100% dalam masa kurang 40 minit. Jadi jika bateri sudah lemah, saya cas sekitar 30 minit pun sudah boleh bertahan sepanjang hari. Memandangkan ini adalah peranti Realme, jadi tidak sokongan USB-PD yang asas juga disokong. Tetapi ia mengambil masa sekitar 1 jam lebih untuk penuh.

Pesaing

Realme X7 ProXiaomi Mi 10T ProRealme 7 5G
6.55″ Super AMOLED, 120Hz, FHD+, ~402 ppi6.67″ IPS LCD,FHD+, 144Hz, ~395 PPI6.5″ Super AMOLED, FHD+, 120Hz, ~407 PPI
MediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
4 x 2.6 GHz Cortex-A77
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Mali-G77 MC9Adreno 650Adreno 650
8 Gigabyte8 Gigabyte8 Gigabyte
256 Gigabyte UFS 2.1256 Gigabyte UFS 3.1256 Gigabyte UFS 3.1
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel,
(f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel
(f/1.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
12+8+12 Megapixel
(f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel,
(f/2.5)
Kamera Hadapan
20 Megapixel,
(f/2.2)
Kamera Hadapan
32 Megapixel,
(f/2.0)
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirIP68
Tiada Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Tiada Pemancar infra merahTiada pemancar infra merahTiada Pemancar infra merah
4500 mAh (Berwayar 65W)5000mAh (Berwayar 33W)4500 mAh (Berwayar 25W)
RM1,999RM1,999RM3,399

Kesimpulan

Agak menarik melihat ada pengeluar peranti ingin tawarkan peranti yang dijana cip MediaTek Dimensity ke pasaran tempatan. Lebih-lebih lagi model 1000+ yang mana bersaing dengan Snapdragon 865. Peranti yang dijana MediaTek selalunya murah dan berbaloi, jadi pengguna tempatan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memiliki peranti yang lebih berkuasa. Adakah Realme X7 Pro ini cukup berkuasa dan berbaloi?

Dari segi penawaran skrin 120Hz yang benar-benar berfungsi dan rasa pantas dan lancar, ini adalah antara peranti yang baik. Pengguna kini mempunyai pilihan bajet bawah RM2000 boleh miliki peranti dengan skrin yang baik. Kemudian tetapan kuad-kamera 64MP yang cukup cantik dan baik sesuai untuk mereka yang ingin keluarkan idea kreatif masing-masing. MediaTek Dimensity 1000+ walaupun ada masalah, ia masih mampu mengendali PUBG Mobile dengan tetapan yang agak tinggi.

Peranti ini cuba menawarkan kehebatan peranti mercu pada harga yang lebih mampu milik. Ia menambahkan pilihan pengguna biasa. Ramai yang memilih Snapdragon kerana kemaskini yang lebih pantas dan sokongan GCam. Tetapi yang dijana MediaTek ini adalah untuk pengguna yang biasa, seperti mereka yang baru ingin cuba mengalami peranti Android yang menghampiri peranti mercu Snapdragon.

Ia adalah cubaan menarik untuk melihat perubahan MediaTek dalam menceburi arena peranti mercu. Ia juga akan membuka minda orang ramai untuk membuktikan yang cip MediaTek tidak lagi seperti dahulu, tetapi sudah lebih baik dan cukup hebat. Ya, bateri agak lemah – tetapi lihat sisi positif yang peranti ini tawarkan. Peranti juga boleh dicas pada kadar yang lebih pantas.

Harga jualan Realme X7 Pro adalah RM1,999. Ia harga yang baik untuk peranti seperti ini, tetapi pad hemat saya Mi 10T atau Poco F2 Pro adalah pilihan yang lebih baik dan harga juga adalah lebih murah.


Pro

  • Skrin 120Hz yang sangat memuaskan, lancar dan cukup pantas.
  • Kemampuan kamera yang cukup baik.
  • Menyokong pengecasan pantas 65W yang boleh mengecas peranti dari 0%-100% dalam masa yang singkat.

Kontra

  • Pembesar suara stereo yang tidak begitu enak.
  • Masih tidaqk mampu merakam video pada kualiti yang cantik dan baik.
  • Pengurusan memori yang agak teruk dan ada sedikit masalah prestasi.
  • Harga jualan yang sedikit mahal, berbanding pesaing yang mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih baik.

TIPS & ULASAN