Cari @ Amanz

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengeluarkan kenyataan, memberikan amaran keras kepada syarikat kurier dalam pengendalian bungkusan pelanggan.

Baru-baru ini, telah tular video memperlihatkan pekerja sebuah syarikat kurier tempatan yang membaling barangan dan bungkusan pengguna, serta tidak mengendalikannya dengan baik.

SKMM mengatakan syarikat kurier perlu sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atas syarikat mereka.

Pemegang lesen kurier yang melanggar peraturan Akta Perkhidmmatan Pos 2012 boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

SKMM turut menyeru pengguna supaya lebih mengetahui hak pengguna. Pengguna dinasihatkan memilih syarikat penghantaran yang sesuai, serta menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran.

Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan apa yang ditawarkan syarikat berkenaan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada pihak SKMM.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd