Amazon adalah antara pesaing sengit Google dalam industri peranti berhubung. Amazon dengan ekosistem Alexa dan Google pula dengan Google Home. Masing-masing mempunyai pembantu digital, produk peranti berhubung tersendiri dan rakan kerjasama tersendiri untuk meluaskan lagi ekosistem.
Walaupun mereka bersepakat untuk piawaian yang lebih mesra pengguna, setiap syarikat masih perlu fokus dengan ekosistem masing-masing. Peranti berhubung terkenal Amazon adalah siri Echo, ia seperti Google Nest, Home Mini dan lain-lain. Ada yang hadir dalam bentuk pembesar suara, paparan pintar dan Amazon juga ada menawarkan jam dinding dan ketuhar gelombang mikro yang ada Alexa. Terkini, Amazon dilaporkan bakal hadir dengan paparan pintar untuk dipasang pada dinding.
Amazon dikatakan mungkin akan hadir dengan variasi 10-inci, iaitu besar seakan Echo Show dan satu variasi gergasi – 13-inci. Paparan pintar ini dilekatkan ke dinding untuk memudahkan kawalan peranti berhubung dalam rumah/pejabat. Ia turut mempunyai kamera untuk panggilan video, melihat pengunjung melalui loceng pintu pintar, ada mikrofon untuk berbual, membuat siaran suara, memainkan video atau muzik dan apa-apa sahaja yang anda boleh lakukan pada paparan pintar.
Tujuan ia boleh lekat pada dinding adalah untuk dijadikan sebagai hab kawalan utama. Dengan menyertakan tablet bersaiz besar atau paparan pintar dilekat ke dinding – suasana rumah akan menjadi lebih futuristik.