Kami telah menggunakan Adobe Photoshop sejak 1998 lagi dan perisian yang digunakan dahulu banyak bezanya dengan apa yang ditawarkan. Saban tahun ada sahaja ciri menarik yang membuatkan proses menyunting gambar menjadi semakin murah. Tetapi masalah yang tidak selesai ialah cuba menyunting gambar mengikut arahan majikan yang ada sahaja yang tak kena.
Hari ini Adobe Photoshop, Illustrator dan Fresco dikemaskini dengan ciri yang membenarkan pengguna bekerjasama untuk menyunting gambar secara awanan. Pengguna boleh mengajak rakan sekerja atau sesiapa sahaja untuk menyunting imej dalam tiga aplikasi tersebut. Pertama sekali kedua-dua pengguna perlu memiliki akaun Adobe dan fail yang ingin disunting perlu disimpan di Adobe Creative Cloud.
Setiap suntingan yang dilakukan disimpan di Adobe Creative Cloud dan kemudiannya boleh diakses oleh kesemua pengguna yang dijemput. Dengan ini isu perlu sering bertukar-tukar fail PSD untuk melakukan suntingan tidak perlu lagi dilakukan kerana ia tersimpan setempat. Setiap sejarah suntingan juga boleh diakses bagi membolehkan perubahan yang dilakukan dilihat dan dikembalikan semula jika berlaku kesilapan.
Untuk menggunakan ciri ini, sila kemas kini ketiga-tiga aplikasi ke versi yang terkini. Ia boleh digunakan di versi desktop, iPad dan iPhone sahaja setakat ini.