Carian
Immunitee Ialah Pasport Kesihatan Pertama Malaysia
February 11, 2021 Nazrin

Wabak COVID-19 yang membelenggu dunia selama setahun telah menyukarkan perjalanan diantara negara, kerana samada kita suka ataupun tidak, pengangkutan udara ialah salah satu cara yang paling mudah untuk penyakit berjangkit merebak ke orang ramai dengan cepat.

Untuk membantu mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak COVID-19 ini semasa perjalanan udara, konsep pasport kesihatan telah diperkenalkan untuk memudahkan pengguna untuk memuatkan maklumat mengenai imunisasi dan vaksinasi pengguna, membuatkannya mudah diakses oleh pihak penerbangan sebelum dan selepas perjalanan.

Immunitee Health Passport ialah pasport kesihatan Malaysia yang menerapkan konsep-konsep ini untuk memudahkan perjalanan diantara negara untuk rakyat Malaysia apabila kita mula menerima suntikan imunisasi COVID-19 tidak lama lagi.

Pasport kesihatan Imunitee ini ialah sebuah aplikasi yang menyimpan sejumlah data kesihatan pengguna, khususnya data imunisasi COVID-19 yang akan diperiksa oleh pihak imigresen negara yang dilawati, dan disulitkan oleh penggunaan teknologi rantaian blok yang memastikan ianya tidak boleh diubah sesuka hati.

Sistem rantaian blok ini juga boleh digunakan untuk sistem pendaftaran dan penyimpanan imunisas untuk penyakit-penyakit lain seperti TB, penyakit anjing gila dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, pasport kesihatan Immunitee ini hadir dengan kerjasama bersama-sama syarikat kesihatan Singapura Affinidi, menggunakan sistem pengesahan Unifier mereka, yang juga bermakna bahawa Imunitee boleh digunakan untuk mengesahkan status imunisasi rakyat Malaysia secara rasmi.

Menurut Immunitee, aplikasi pasport ini akan tiba pada bulan Mac kelak, dan pengguna boleh memuat-turunnya pada platform Android dan iOS, dan pihak berkuasa hanya perlu mengimbas kod QR untuk melihat maklumat-maklumat perubatan ini.

Selain daripada bahagian imigresen, pasport ini juga boleh digunakan di lokasi-lokasi yang mewajibkan vaksinasi sebelum pelawat dibenarkan masuk, dan aplikasi ini akan ditawarkan secara global.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasport kesihatan ini, anda boleh melayari laman web Immunitee.

Komen