Opensignal, salah satu firma yang memantau industri telekomunikasi, kini telah mengeluarkan laporan terbaru berkaitan Malaysia, memperlihatkan peralihan pengguna antara rangkaian menjelang penghujung 2020, pasca PKP yang pertama.
Melalui data yang dihimpunkan, Opensignal mengatakan ramai yang beralih ke rangkaian Celcom dan Maxis selepas PKP, dan diikuti oleh Unifi. Apa pun, untuk rangkaian Digi dan U Mobile, ia memperlihatkan angka pengguna yang berkurangan.

Selain itu, rangkaian MVNO juga memperlihatkan angka pengurangan pengguna yang drastik.
Ia dilihat ramai pengguna beralih ke rangkaian yang lebih stabil dan penawaran kualiti juga turut menjadi fokus ketika pengguna beralih ke rangkaian baharu.
Jikalau dibandingkan, pada tahun 2019, Celcom, Maxis dan Digi kehilangan pengguna, tetapi rangkaian seperti Unifi dan U Mobile memperlihatkan peningkatan pengguna. Apa pun, rangkaian U Mobile didapati kehilangan pengguna bermula penghujung 2019 yang lepas.
Mengikut data Opensignal, ramai yang mula beralih rangkaian didapati mempunyai pengalaman rangkaian mudah-alih yang agak teruk berbanding purata pengguna lain seluruh negara.
Dengan jurang perbezaan harga antara syarikat telekomunikasi semakin rendah, ia dilihat ramai mula memfokuskan kepada penawaran kualiti telekomunikasi yang baik – apatah lagi pada era PKP kini, ramai yang bergantung pada sambungan internet untuk kekal berkomunikasi, bekerja mahupun untuk belajar.