Wuppertal Schwebebahn ialah sistem monorel tergantung tertua di dunia kerana telah beroperasi sejak 1901. Ia terletak di bandar Wuppertal Jerman dan mempunyai rangkaian trek sepanjang 13 kilometer. Walaupun berusia lebih seabad, ia masih beroperasi kerana koc yang diperbaharui setiap beberapa generasi.

Sistem monorel ini baru sahaja menerima koc terbaru mereka yang diberi nama Generation 15 yang dibangunkan oleh firma Büro Staubach. Walaupun ia koc moden, rekaan klasik kos asal Wuppertal dikekalkan. Penggunaan kaca besar untuk membenarkan cahaya luar menerangi kabin dan cermin depan yang lebih sendeng untuk pemandu melihat dengan lebih jelas.

Tiga koc digabungkan sekali dengan dua bersaiz panjang dan satu bersaiz lebih pendek. Di dalamnya kerusi diperbuat daripada kayu dengan pelapik daripada bahan fabrik senang dibasuh. Apabila beroperasi, sistem Wuppertal Schwebebahn mampu membawa sehingga 80,000 penumpang sehari.