Carian
Lenovo Ke Arah Alaf Produktiviti Baharu Dengan Siri Komputer Riba ThinkPad X1 Generasi Terkini
March 31, 2021 Nazrin

Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat semua industri secara global, dan walaupun wabak COVID-19 memperlihatkan peningkatan jualan komputer yang tertinggi apabila dibandingkan dengan beberapa tahun sebelum ini,

Norma baharu yang dipaksakan ke semua orang di seluruh dunia memaksa syarikat-syarikat teknologi memikirkan semula bagaimanakah mereka sepatutnya membangunkan komputer-komputer riba baru untuk memudahkan perubahan cara kita bekerja dari luar pejabat, tidak kira di rumah ataupun di lokasi-lokasi seperti kafe mahupun ruang kerja.

Lenovo adalah diantara syarikat-syarikat yang memperlihatkan peningkatan dari segi jualan pada tahun lepas, tetapi mereka juga sedar bahawa ini hanyalah kerana wabak COVID-19 memaksa orang ramai untuk mula bekerja dan belajar dari rumah.

Tanpa inovasi yang memanfaatkan pengguna di waktu “norma baharu” ini, pelanggan mereka akan terus lari ke jenama-jenama lain yang menawarkan lebih banyak ciri-ciri baru.

Di acara Consumer Electronics Show pada bulan Januari dahulu, Lenovo telah memperkenalkan sejumlah komputer riba dibawah model ThinkPad yang bukan sahaja hadir dengan rekaan baru, tetapi juga ciri-ciri tambahan yang boleh meningkatkan produktiviti pekerja tidak kira dimana mereka berada.

Kami baru-baru ini berpeluang untuk menemu-ramah Tom Butler, Pengarah Eksekutif Perniagaan Komersil Peranti Pintar Lenovo mengenai komputer-komputer riba Lenovo ThinkPad yang dilancarkan mereka di acara tersebut.

Masa Hadapan Produktiviti

Pada tahun 2020, Lenovo telah mencatatkan jumlah penjualan PC dan tablet yang cukup tinggi, khususnya kerana permintaan komputer riba dan tablet yang meningkat kerana keperluan pengguna untuk bekerja dari rumah kerana wabak COVID-19 yang membelenggu setiap pelusuk industri global.

Malah, sewaktu temubual ini dilakukan, saya dan Tom Butler masing-masing berada di “rumah pejabat” kami kerana pada waktu tersebut, realitinya ialah untuk memutuskan rangkaian jangkitan penyakit ini, penjarakan sosial diperlukan untuk mempercepatkan proses kembali ke norma sebelum ini.

Walaupun begitu, Tom Butler mengunjurkan bahawa “norma baharu” bekerja dan pembelajaran dari rumah ini sebenarnya hanyalah satu permulaan.

Ia dijangka bahawa walaupun selepas wabak COVID-19 ini berakhir, orang ramai pastinya akan mahu mengekalkan amalan kerja baru mereka yang lebih fleksibel ini, tidak kira di rumah ataupun di lokasi-lokasi ruang kerja seperti WeWork dan Wotso.

Untuk memanfaatkan lagi corak kerja baharu ini, Lenovo memperkenalkan sejumlah penambahbaikan pada siri komputer riba ThinkPad X1 yang dilancarkan di acara CES 2021. Ini termasuklah peranti-peranti seperti ThinkPad X1 Titanium Yoga, ThinkPad X1 Carbon, ThinkPad X1 Yoga dan ThinkPad X12 Detachable.

Bukan Kemaskini Semata-mata

Bermula dengan peranti ThinkPad X1 Titanium Yoga, komputer riba ini adalah kali pertama syarikat tersebut menggunakan titanium pada komputer riba mereka. Menurut Tom Butler, Lenovo mahu menangkap pasaran komputer riba premium nipis, ringan dan berkuasa.

Penggunaan aloi titanium ini membenarkan Lenovo untuk membina sebuah komputer riba yang bukan sahaja berkuasa, tetapi juga nipis dan ringan, iaitu dua aspek yang penting apabila kita mengambil kira bahawa komputer riba ini boleh dipusingkan paparannya ke bahagian belakang dan dijadikan sebuah tablet.

Paparan OLED bernisbah 3:2 dengan resolusi 2K ini juga boleh digunakan dalam pelbagai cara, tetapi paparan ini yang mempunyai saiz sebuah kertas A4 adalah yang terbaik untuk tujuan produktiviti. Dengan rekaan senipis 11.5mm dan berat 1.13kg sahaja, komputer riba ThinkPad X1 Titanium Yoga ini boleh dikatakan komputer riba boleh-lipat yang palilng nipis dan ringan di pasaran.

ThinkPad X1 Carbon gen 9 dan ThinkPad X1 Yoga gen 6 membawa kembali paparan skrin dengan nisbah 16:10. Nisbah ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi oleh kerana nisbah 16:9 sinematik lebih popular di kalangan pengguna, ia telah ditinggalkan sehinggalah kini.

Menurut Tom, pengguna komputer riba produktiviti kini rata-ratanya mahukan skrin yang lebih panjang untuk memuatkan lebih banyak maklumat didalamnya, dan oleh kerana itu, paparan 16:10 ini dibawa kembali untuk peranti-peranti ThinkPad X1 ini.

Selain daripada itu, kedua-dua model ini juga adalah komputer riba pertama dengan sokongan untuk Dolby Voice dan Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman bercakap di perisian telesidang yang jauh lebih berkualiti berbanding apa yang ditawarkan oleh sistem-sistem audio yang lain.

Penggunaan Dolby Voice bukan sahaja mengurangkan audio hingar di latar belakang, tetapi juga pengguna boleh mengenalpasti kedudukan individu untuk pengalaman perjumpaan telesidang yang lebih mendalam.

Penggunaan cip pemprosesan Intel generasi ke-11 Tiger Lake juga memastikan bahawa komputer riba ini, bersama dengan komputer-komputer riba ThinkPad X1 yang lain bukan sahaja mempunyai prestasi yang berkuasa, tetapi juga boleh digunakan sepanjang hari dengan satu pengecasan penuh, jadi anda tidak perlu membawa kepala pengecasan bersama-sama anda apabila anda bekerja di luar.

Selain daripada prestasi komputer yang hebat, komputer-komputer riba ThinkPad X1 ini juga hadir dengan ciri-ciri seperti USB Type-A, Type-C, Thunderbolt 4, WiFi 6E, sokongan untuk rangkaian 4G dan 5G bersama-sama dengan jangkahayat bateri yang lama.

Salah satu had kepada produktiviti dari mana-mana ini ialah sokongan untuk rangkaian internet serba lengkap. Untuk ini, sokongan WiFi sahaja tidak mencukupi, kerana akan ada situasi dimana pengguna akan perlukan sambungan internet mudah-alih seperti 4G ataupun 5G untuk melakukan tugasan mereka.

Dengan penambahbaikan rangkaian 4G, dan kehadiran rangkaian 5G di Malaysia tidak lama lagi, sokongan untuk kedua-dua rangkaian ini terus daripada komputer riba pastinya sesuatu yang diingini oleh profesional-profesional “perantau” yang sudahpun sering melakukan kerja dan tugasan di luar pejabat, kelas dan rumah.

Fokus terhadap prestasi dan kecekapan peranti membuatkan siri ThinkPad X1 2021 ini siri komputer riba produktiviti paling lengkap apabila ia hadir di pasaran kelak. Mereka yang mahukan peranti yang terbaik untuk melakukan tugasan-tugasan mereka dari mana-mana sahaja tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan sebuah komputer riba ini.

Gabungan teknologi lama dan baru ini memperlihatkan bahawa Lenovo sedar bahawa prestasi yang baik sahaja tidak mencukupi untuk orang bersiap-sedia untuk norma produktiviti baharu ini yang rata-ratanya memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pekerja dan juga pelajar.

Membawa Teknologi Premium Ke Pasaran Massa

Rekaan dan teknologi-teknologi yang diperkenalkan pada siri komputer riba ThinkPad X1 terbaru ini rata-ratanya sangat bagus dan tiada keraguan bahawa ia akan pastinya meningkatkan produktiviti pengguna secara mendadak tidak kira dimana mereka berada.

Saya turut menanyakan Tom Butler jika ada peluang ciri-ciri baru ini akan diperkenalkan juga pada komputer riba Lenovo yang lebih mampu milik, khususnya kerana siri ThinkPad X1 biasanya disasarkan kepada pengguna-pengguna eksekutif yang mampu memiliki peranti-peranti dengan tanda harga premium ini.

Beliau mengatakan bahawa biasanya teknologi-teknologi ini lambat-laun akan tiba pada komputer-komputer riba lain keluaran Lenovo, seperti ThinkPad, IdeaPad dan sebagainya, tetapi fokus mereka untuk masa ini ialah untuk mengembangkan pengalaman norma produktiviti baru melalui siri ThinkPad X1 terbaru ini.

Mengenai bilakah siri komputer riba ThinkPad X1 ini akan tiba di pasaran tempatan, kita dapat lihat bahawa ThinkPad X1 Titanium Yoga telahpun mula diperlihatkan melalui laman web Lenovo Malaysia. Tanda harganya tidak diketahui lagi, tetapi kami menjangkakan bahawa sebuah pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Komen