Carian
Pengasas Telegram Menekankan Pengguna Tidak Perlu Bimbang Akan Pengenalan Iklan Di Telegram
February 12, 2021 Aman

Telegram, salah satu aplikasi permesejan popular yang digunakan sebagai alternatif untuk WhatsApp, sedia mengatakan yang mana mereka akan memperkenalkan pengiklanan pada platform – dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan dan dapat menampung kos operasi Telegram berkenaan sendiri.

Perkara ini semestinya merisaukan ramai pengguna – apatah lagi dengan isu berkaitan privasi yang menjadi fokus ramai akhir-akhir ini.

Hari ini, bercakap mengenainya, pengasas mengatakan pengguna tidak perlu bimbang berkenaan pengenalan iklan pada Telegram.

Beliau mengatakan Telegram tidak akan memperlihatkan iklan dalam tetingkap sembang peribadi. Iklan dipertimbangkan pada saluran yang besar, dan bukannya pada perbualan persendirian atau kumpulan.

Disamping itu, beliau mengatakan data pengguna tidak akan digunakan dalam menyasarkan iklan. Jadi, sekiranya pengiklanan diperkenalkan, ia akan berdasarkan kepada topik sesuatu saluran, dan bukannya berdasarkan kepada data pengguna.

Telegram turut menekankan yang mana beberapa saluran sedia menjual pengiklanan pada saluran mereka, dan penawaran Telegram ini akan mengemaskan dan memperbaiki lagi capaian iklan berkenaan.

Buat masa ini, Telegram masih belum memberikan latar masa berkenaan pengenalan iklan pada platform mereka. Dengan perkongsian baru ini, kita mungkin boleh enyasarkan pengenalan ciri pengiklanan ini dalam masa beberapa bulan lagi.

Komen