Rekaan dan spesifikasi lengkap Xiaomi Mi 11 Ultra telah tertiris selepas videonya telah dimuat naik oleh saluran YouTube Techbuff PH. Video tersebut menujukan peranti mempunyai bonggol kamera yang bersaiz amat besar kerana dilengkapi skrin sekunder untuk pengambilan swafoto. Ketika artikel ditulis, video ini telahpun dipadam.
Spesifikasi peranti adalah seperti berikut. Skrin 6.8″ OLED WQHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz, dijana cip Snapdragon 888, memori sebesar LPDDR5, storan UFS 3.1 dan bateri sebesar 5000 mAh. Bateri boleh dicas dengan kuasa 67W secara berwayar, 67W secara nirwayar dan 10W secara berbalik.
Kamera utama terdiri daripada 50MP untuk sudut lebar, 48MP untuk sudut ultra lebar dan 48MP untuk telefoto dengan mekanisme periskop, Ini membolehkan ia melakukan zum optikal sehingga 10X dan zum digital sehingga 120X. Kamera hadapan pula adalah sebesar 20MP.
Peranti dilengkapi kaca tahan lasak Gorilla Glass Victus dan turut melepasi piawaian kalis air serta debu IP68. Selain itu sistem audio stereo Harman Kardon melengkapi spesifikasi peranti yang menggunakan sistem operasi MIUI 12.5 ini.