Amazon Fire TV Stick 4K adalah dongel televisyen pintar daripada Amazon. Mana-mana peranti Fire TV akan menjalankan sistem operasi Fire OS, iaitu sistem operasi Android yang diubah sepenuhnya – atau Android fork. Walaupun begitu, masih banyak aplikasi dan perkhidmatan penstriman disokong, sama ada secara terbina atau melalui gedung aplikasi Amazon Appstore.

Terkini, seorang pembangun dari XDA berjaya menghasilkan custom ROM Android TV untuk dijalankan pada Amazon Fire TV Stick 4K 2018. Menariknya, walaupun ia adalah custom ROM iaitu sistem operasi tanpa sebarang pengiktirafan – ia masih boleh menjalankan Google Play Store, Alexa, menyokong alat kawalan Fire TV Remote, Magisk, menyokong penstriman Netflix kerana mempunyai pengiktirafan Widevine DRM dan banyak lagi.
Isu serius yang dilaporkan hanyalah Google Assistant dan kawalan berasaskan suara sahaja yang kerap tidak berfungsi. Yang mana ini adalah perkara yang pasti ramai tidak hiraukan kerana boleh kawal dengan alat kawalan. Android TV yang dijalankan pula adalah versi usang, iaitu Android TV 7.1.2 Nougat. Tiga generasi ke belakang, kerana sekarang versi stabil adalah Android 10 dan versi pembangunan adalah Android 11.

Pemasangan Android TV pada Fire TV Stick 4K 2018 ini dilihat agak mudah. Hanya perlu muat turun fail yang tertentu, mempunyai paparan untuk melihat, perkakasan untuk mengawal serta serba sedikit ilmu mengenai custom ROM.
Ikuti pautan di bawah untuk tutorial penuh.