ROM Untuk Peranti Android Kelak Boleh Dipasang Melalui Web – Terhad Buat Peranti Pixel Setakat Ini

Diterbitkan pada Feb 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Januari tahun lepas, Google memperkenalkan Android Flash Tool. Ia adalah alat untuk memasang sistem operasi pada peranti Google Pixel, sama ada kemaskini terkini, memasang versi penuh, atau untuk format peranti. Kedengaran seperti biasa? Alat ini lain daripada yang lain, kerana ia adalah berasaskan web dan pengguna perlu menggunakan pelayar web.

Alat ini hanya boleh digunakan pada pelayar web berasaskan Chromium atau Chrome OS sahaja. Ini kerana sejak Chromium versi 61, ia sudah mula menyokong WebUSB iaitu pemacu untuk membaca peranti atau mengenalpasti peranti yang disambung melalui port USB. Semua ini berfungsi kerana alat ini mempunyai fastboot.js iaitu sejenis protokol fastboot untuk sistem berasaskan web. Melalui ini, pengguna tidak lagi perlu memasang pelbagai pemacu, tidak lagi perlu menggunakan arahan cmd dan lain-lain lagi. Hanya perlu buka laman web tertentu, sambungkan peranti dan ikuti arahan di skrin.

Disebabkan perkara ini, adakah tidak lama lagi di masa hadapan – pemasangan custom ROM juga adalah lebih mudah. Pada mulanya seorang pembangun di XDA yang digelar kdrag0n, telah hadir dengan ProtonAOSP iaitu custom ROM pertama untuk Pixel 5 dan beliau menawarkan pemasangan melalui web seperti Android Flash Tool. Kemudian terkini, beliau membantu menulis alat pemasangan custom ROM lain untuk pemasangan melalui web juga.

Custom ROM ini adalah GrapheneOS, iaitu custom ROM yang memfokuskan privasi dan sekuriti sepenuhnya. GrapheneOS turut menyertakan Vanadium iaitu pelayar web berasaskan Chromium untuk memfokuskan privasi dan sekuriti juga. Kemudian ia juga mempunyai Seedvault terbina iaitu peti simpanan yang disulitkan.

Disebabkan fastboot.js yang diguna dalam Android Flash Tool adalah untuk peranti Pixel dan semua custom ROM ini juga adalah Android asli Pixel yang diubahsuai. Senarai sokongan dilihat adalah dari Pixel 3 ke atas, kecuali ProtonAOSP yang dilihat menyokong Pixel 2. Cuma menjadi persoalan, kelak bolehkah peranti bukan Pixel menggunakan alat seperti ini untuk custom ROM? Adakah ini kaedah pemasangan custom ROM baharu atau kelak pemasangan kemaskini manual juga boleh dilakukan dengan kaedah ini?

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami