Xiaomi akhirnya memasuki pasaran jam tangan pintar. Selepas bertahun lamanya memfokuskan kepada Mi Band, mereka mula bersaing dengan jenama seperti Realme, Amazfit dan Huawei. Walaupun begitu, jam tangan pintar Xiaomi yang memasuki pasaran Malaysia adalah berbeza dengan yang diperkenalkan di China.
Di Malaysia, Xiaomi Mi Watch adalah jam tangan pintar asas seperti kebanyakan jam Amazfit. Manakala di China, Mi Watch adalah jam tangan pintar sebenar yang menjalankan MIUI for Watch yang berasaskan Wear OS. Persoalannya, adalah jam tangan pintar Mi Watch ini cukup baik? Yang manakah patutnya Xiaomi bawa masuk, Asas atau Wear OS? Ini adalah artikel ulasan saya selepas berminggu menggunakannya.
Spesifikasi Dan Rekaan
Xiaomi Mi Watch | |
---|---|
Skrin | 1.39” AMOLED 454 x 454 Always-On Display |
Pemproses | – |
Memori | – |
Sistem Operasi | Tersendiri |
Perlindungan | 5ATM |
Bateri | 420mAh |
Sensor | Pengimbas Nadi PPG, Giroskop, Pemecut, Geomagnetik, Tekanan Udara & Cahaya Ambien GPS,GLONASS, Galileo, BDS |
Lain-Lain | Bluetooth 5.0 |
Pengecasan | Sambungan Pin POGO Pada Dermaga Khas |
Bahan Binaan | Gentian Kaca Poliamida Yang Diperkuat TPU |
Ketahanan Bateri | Ringan: Mencapai 16 hari Ekstrem: 50 jam Jimat Bateri: 22 hari |
Harga | RM469 |
Mi Watch menggunakan rekaan skrin bulat, tebal, dan juga warna yang sedikit ceria. Dalam imej pengolokan, ia kelihatan premium dan mewah. Tetapi apabila berada di tangan, jam ini kelihatan sedikit seperti jam kanak-kanak atau lebih bersesuaian untuk golongan remaja. Kerangka jam ini diperbuat dari gentian kaca poliamida yang diperkuatkan, walaupun kukuh ia masih ringan iaitu sekitar 32g sahaja. Dipadankan pula dengan tali jam yang diperbuat daripada TPU dengan permukaan sedikit bergetah.
Apabila dipakai, ia rasa selesa, tidak begitu berat dan tidak begitu ringan. Ia mempunyai sedikit beban yang memberikan perasaan seakan di tangan saya ini adalah jam yang premium. Skrin jam ini bersaiz 1.39-inci panel AMOLED dengan resolusi 454 x 454. Skrin ini cukup cerah dan cantik. Warnanya terang dan setiap teks dan ikon kelihatan seperti melihat jam tangan TicWatch, Fossil atau Samsung. Skrinnya juga lancar untuk ditatal, tidak ada masalah lengah masa dan amat pantas.
Xiaomi tidak mendedahkan cip pemprosesan yang digunakan, tetapi ia menyokong rangkaian Bluetooth 5.0 yang cukup baik dalam penggunaan kuasa. Ia turut mempunyai sensor menarik yang membolehkan saya melakukan pelbagai perkara seperti mengimbas nadi, giroskop dan pemecut untuk berlari atau berenang, boleh semak tekanan udara, ada sensor cahaya ambien untuk mod kecerahan automatik dan juga GPS untuk melihat perjalanan ketika joging dan sebagainya.
Bateri yang dimuatkan berkapasiti 420mAh dengan pengecasan dermaga tersendiri, yang mana sehingga hari ini masih tiada satu piawaian khusus untuk peranti boleh pakai seperti piawaian pengecasan untuk telefon pintar. Walaupun begitu, syukur kaedah pengecasan mudah dan tidak leceh. Bagi yang gemar berenang, jam ini serta mempunyai perlindungan air 5ATM.
Pengalaman Penggunaan
Mata saya sudah biasa melihat skrin jam tangan seperti Apple Watch, TicWatch Pro, Fossil atau Amafit GTR 2/GTS 2. Kesemua jam ini mempunyai skrin yang cantik, cukup cerah dan memuaskan untuk penggunaan harian dalam jangka masa panjang. Apabila Xiaomi membawa masuk Mi Watch yang lebih murah, iaitu bukan versi MIUI for Watch yang berasaskan Wear OS – saya agak skeptikal bagaimana ia boleh memuaskan penggunaan diri saya serta adakah kualiti skrin akan berbeza?
Masalah skrin yang saya temui adalah ia terlampau rata. Tidak dinafikan yang skrin rata adalah cantik, mudah dijaga dan mudah mencari pelindung skrin yang kukuh. Tetapi, perisian Mi Watch ini masih tidak cukup matang untuk mengesan telapak tangan. Skrin kerap tersentuh dan mengubah muka jam dan kadangkala mengubah tetapan yang tidak diingini.
Ini kerana, sudah banyak jam tangan pintar asas seperti Realme Watch S, Amazfit Bip, Amazfit GTR, Huawei Watch GT atau TicWatch GTS yang menggunakan sistem operasi tersendiri. Ya, saya sudah biasa dengan Mi Band – tetapi bagaimanakah iterasi Xiaomi untuk peranti boleh pakai sebegini?
Amat mengejutkan, Xiaomi cuba membawakan anatarmuka yang mirip MIUI for Watch. Jika anda lihat video acah atau video ulasan pengulas yang menggunakan Mi Watch versi MIUI for Watch, ia amat lancar. Walaupun dijana dengan cip pemprosesan generasi lama, pelancarnya masih boleh berikan peralihan animasi yang baik. Pada Mi Watch yang saya gunakan ini, begitulah yang saya rasa. Saya dapat rasakan yang jam ini seakan jam tangan Wear OS.
Ia sangat lancar, sangat pantas dan sangat memuaskan. Ia mempunyai sokongan seakan Tiles, yang mana aplikasi-aplikasi penting dipaparkan dalam bentuk yang lebih ringkas dengan data yang penting. Ia mempunyai talam notifikasi yang memaparkan notifikasi dengan sangat jelas, talam tetapan yang memaparkan akses pintas kepada Do Not Disturb, pencarian peranti dan sebagainya. Ia juga mempunyai talam aplikasi yang dipaparkan dalam bentuk grid. Ini amat memudahkan!
Menggunakan jam ini sangat seronok, mod sukan juga banyak, pemantauan tidur yang boleh saya katakan cukup jitu, mampu mengesan kandungan oksigen dalam darah, megimbas nadi secara 24 jam, fungsi senaman bernafas dan banyak lagi. Fungsi lain seperti cuaca, penggera, getaran turut disertakan.
Fungsi
Jam ini mempunyai getaran yang ringan, tetapi tidak cukup baik. Ia seakan Xiaomi menggunakan enjin getaran Mi Band dan dimuatkan dalam jam yang besar. Tetapi tidak mengapa, berbaloi dengan harga jualan. Ia juga menawarkan ratusan muka jam menarik, dari yang statik atau juga yang beranimasi.
Untuk fungsi senaman, saya dapat katakan ia boleh digunakan dengan keadaan baik. Masa tindak balas yang baik, mudah untuk jeda senaman atau terus berhentikan dan dengan pantas memaparkan data yang sepatutnya diketahui pengguna.
Dalam penggunaan saya untuk seperti mengimbas nadi, keputusan yang diberikan jauh berbeza dengan Mi Watch Lite. Mi Watch Lite langsung tidak jitu dan seakan bermasalah. Saya bandingkan Mi Watch ini dengan TicWatch Pro 3 saya, keputusan imbasan nadi adalah lebih kurang sama. Ini bermakna, sensor yang digunakan adakah berguna dan bukan sekadar gimik.
Untuk GPS, ia sekadar untuk pemantauan perjalanan sahaja seperti ketika berjoging, berlari, maraton dan sebagainya untuk melihat perjalanan dalam bentuk peta. Ia tidak boleh digunakan untuk arahan selok-belok ke sesuatu destinasi.
Keselesaan
Jam ini selesa di tangan, ia mempunyai tekstur bergetah, tidak begitu berat tetapi cukup untuk rasakan ada beban pada tangan. Tetapi jika dibandingkan dengan Amazfit yang mempunyai rekaan lebih nipis, premium dan mempunyai prestasi lebih pantas – Xiaomi dilihat sedikit ceria. Ia lebih kepada penggunaan kasual dan bersahaja berbanding Amazfit siri GTR 2 atau GTS 2 yang lebih ada kelas. Saya lebih gemar dengan antaramuka pada Mi Watch dan rekaan pada Amazfit.
Bateri
Untuk bateri, Xiaomi menjanjikan ketahanan sehingga 16 hari untuk penggunaan ringan, 22 hari mod penjimatan bateri dan 50 jam penggunaan berat dengan GPS serta pelbagai mod sukan. Semasa menerima jam ini, status bateri adalah 71%. Bateri telah habis selepas empat hari dalam penggunaan yang ringan.
Selepas beberapa kitaran pengecasan dalam berminggu pemakaian, saya dapati jika banyak notifikasi diaktifkan – jam hanya boleh bertahan sekitar satu minggu sahaja jika menggunakan muka jam beranimasi. Muka jam yang statik boleh berikan ketahanan sekitar 10 hari. Untuk penggunaan ringan, seperti notifikasi yang terhad, muka jam yang kerap bertukar dari yang bergerak ke statik serta penggunaan senaman yang tidak kerap – ia boleh bertahan selama 14 hari.
Aplikasi
Saya menguji jam ini pada iPhone 12 Mini dan ia perlu dihubungkan dengan aplikasi Xiaomi Wear Lite. Aplikasi ini mudah digunakan dan terasa lebih profesional. Jam ini tidak menggunakan aplikasi Mi Fit lagi. Aplikasi baru ini mirip dengan Zepp tetapi dengan rekaan lebih menarik. Sekali lagi saya ulang, ia ceria.
Kesimpulan
Selepas beberapa minggu menggunakan jam tangan ini, Mi Watch memberikan satu pengalaman penggunaan yang sangat menarik. Ia membuatkan hari lebih ceria, kerana antaramuka yang mudah digunakan, fungsi dan ciri menarik serta pelbagai pilihan jam. Xiaomi mengambil langkah yang kurang berisiko dengan memperkenalkan jam ini berbanding jam Wear OS mereka. Tetapi Xiaomi telah buktikan, yang mereka juga hebat dalam pembangunan perisian untuk peranti boleh pakai.
Dengan ini, pengguna akan menikmati pengalaman penggunaan yang lebih menarik, pantas serta lancar berbanding Wear OS yang ada serba sedikit masalah yang tidak diduga. Kemudian dengan antaramuka yang kelihatan mirip MIUI For Watch, kelak jika jam Wear OS mereka dilancarkan pengguna akan lebih biasa dan selesa.
Harga jualan jam ini adalah RM469, yang mana pada hemat saya cukup berbaloi. Ia tidak begitu mahal dan bersaing sengit dengan Amazfit. Bagi yang kelak akan bertukar ke Wear OS, jika Xiaomi bawakan Mi Watch Wear OS mereka – Mi Watch ini akan menjadi satu titik permulaan ke ekosistem peranti boleh pakai Xiaomi. Ia akan membiasakan pengguna dengan antaramuka yang ringkas dan mudah digunakan, serta sesuai digunakan oleh semua orang.
Amazfit lebih kepada penggunaan premium, kelihatan elegan dan nipis. Tetapi bateri Amazfit sedikit lemah untuk GTR 2 dan GTS 2, jika anda ingin ketahanan bateri berpanjangan pilih Mi Watch.
Pro
- Prestasi yang menarik dengan perisian yang mudah digunakan serta memberikan pengalaman seakan menggunakan Wear OS
- Rekaan jam yang ceria dengan antaramuka yang unik dan seronok
- Skrin AMOLED yang cantik, terang dan jelas seakan jam premium
- Selesa di tangan dan kulit tidak gatal
Kontra
- Rekaan yang tidak mungkin menarik minat kepada golongan remaja kerana skrin sahaja premium, jika ada pilihan tali jam kulit atau besi – ia lebih baik
- Getaran tidak begitu kuat yang agak menjengkelkan
- Skrin yang tidak mempunyai palm rejection yang baik dan mudah tertukar muka jam dan mengubah tetapan