Garmin kini memperluaskan lagi penawaran peranti boleh-pakai keluarannya menerusi pengenalan Garmin Enduro. Direka untuk individu yang kerap melakukan aktiviti senaman dan luar yang lasak, ianya hadir dengan aspek rupa bentuk yang mampu bertahan dalam apa juga keadaan.

Jam mempunyai skrin berbentuk bulat sebesar 1.4-inci (280 x 280 piksel) dengan kemampuan dicaj menggunakan kuasa solar menerusi panel kaca Power Glass pada muka jam. Pada masa sama, terdapat dua jenis penawaran kerangka – sama ada keluli tahan karat atau bahan khas titanium berlapis berlian (DLC).
Kapasiti bateri tidak didedahkan secara khusus. Namun, tempoh penggunaannya mampu bertahan sehingga 65 hari dalam mod pintar atau 130 hari dalam mod penjimatan bateri kerana panel solar terbina. Seterusnya, ia juga dilengkapi pelbagai sensor seperti pengimbas nadi, accelerometer, barometer, thermometer, SpO2, GPS dan banyak lagi. Ia juga menyokong kemampuan kalis air 10 ATM dan sistem pembayaran Garmin Pay.
Garmin Enduro dijual pada harga £699.99 (~RM3,924) untuk model dengan kerangka keluli tahan karat. Sementara itu, model yang diperbuat daripada bahan khas titanium berlapis berlian (DLC) pula berharga £799.99 (RM~4,484).