Cari @ Amanz


Mula berjinak-jinak dalam aksesori audio menerusi pengenalan beberapa produk sebelum ini, Realme dilihat bagai tidak henti-henti dalam memperluaskan lagi penawarannya dalam segmen ini. Jenama ini sedia hadir dengan pelbagai jenis bentuk aksesori audio – sama ada berwayar, nirwayar atau neckband.

Dalam perkembangan terkini, jenama ini dilihat mula mengacah kehadiran aksesori audio baharu menerusi beberapa video ringkas. Ia bukan sahaja memperlihatkan rekaan pada aksesori berkenaan, bahkan turut menunjukkan ianya hadir dengan sokongan pembatalan bunyi aktif (ANC) serba baharu. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi sokongan kawalan sesentuh pada sisi fon telinga dan sejumlah ciri lain termasuklah – Transparency Mode.

Biarpun belum ada kepastian, namun aksesori berkenaan berkemungkinan besar adalah Realme Buds Air 2. Ditambah pula, terdapatnya satu laporan menerusi GSMArena yang menunjukkan Realme Buds Air 2 telah tersenarai menerusi aplikasi Realme Link. Ia memperlihatkan reka bentuk yang seakan sama seperti Realme Buds Air Pro. Lebih menariknya, Realme turut dikatakan bakal bekerjasama dengan The Chainsmokers dalam mempromosikan aksesori audio terkini mereka.

Buat masa ini, tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasi pada aksesori audio berkenaan. Namun begitu, ia dikhabarkan hadir dengan ketahanan bateri lebih baik. Di mana, penyenaraian FCC sebelum ini mendedahkan ia akan dibekalkan bateri 400mAh. Seperti biasa, kita boleh menyasarkan lebih banyak butiran lanjut mengenainya bakal dikongsi dalam masa terdekat ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd