Carian
Masalah Kekurangan Cip Menjadi Semakin Runcing Kerana Ribut Salji Di Texas
February 18, 2021 Effi Saharudin

Dunia sekarang sedang mengalami masalah kekurangan cip kerana permintaan melebihi kemampuan pengilang. Ia antara penyebab mengapa konsol generasi semasa masih sukar dibeli selepas lebih tiga bulan dilancarkan. Masalah kekurangan cip akan menjadi semakin runcing kerana ribut salji yang menimpa Texas minggu ini.

Menurut laporan Wall Street Journal, Samsung Electronics, NXP dan Infineon terpaksa menutup atau mengurangkan output di kilang-kilang mereka di Austin Texas sebagai langkah mengurangkan penggunaan tenaga. Grid elektrik Texas lumpuh selepas dilanda ribut salji. Sistem penyejukan stesen janakuasa membeku sehingga operasi terpaksa dihentikan. Akibatnya bekalan elektrik di Texas kini dicatu dan terputus-putus di beberapa daerah.

Berita baik di sini ialah kesemua kilang-kilang yang terjejas membekalkan cip yang digunakan untuk industri permotoran sahaja. Bekalan cip untuk telefon pintar dan komputer tidak akan terjejas. Namun begitu sebelum gangguan di kilang cip Texas ini, pengeluaran kenderaan global sudahpun 700,000 lebih rendah berbanding sasaran untuk suku pertama 2021.

Komen