Fantasi filem Jurassic Park ialah DNA dinosaur diekstrak dari nyamuk yang terperangkap di dalam damar. Realitinya ini adalah mustahil kerana DNA tidak mampu bertahan selama jutaan tahun dan sudahpun terlerai. Rekod DNA tertua yang berjaya diekstrak sebelum ini adalah berusia 700,000 tahun. Tetapi saintis dari Stockholm University berjaya memecahkan rekod ini selepas mengekstrak DNA berusia 1.2 juta tahun.
DNA mamot dikestrak dari bahagian gigi tiga fosil yang ditemui di kawasan permafrost Siberia. Kejayaan ini penting kerana saintis menemui bukti baharu bahawa terdapat dua spesis mamot berbeza yang wujud di Siberia ketika era Pleistosen atau lebih dikenali sebagai zaman ais. DNA yang diekstrak ini jauh lebih tua berbanding spesis manusia moden (Homo sapiens) dan Neandrthal.
Selain menulis semula pemahaman manusia mengenai evolusi mamot, saintis kini percaya sampel DNA yang lebih tua mungkin dapat diekstrak di masa hadapan. Mereka kini percaya sampel berusia 2.6 juta tahun mungkin dapat diekstrak sekiranya sampel terpelihara dalam lapisan permafrost. Malang sekali ini sekali lagi menutup impian bahawa DNA dinosaur dapat diklon untuk menjadikan Jurassic Park realiti.