Cari @ Amanz

Google Classroom Kelak Akan Menyokong Pembelajaran Secara Luar Talian Dan Mengesan Plagiarisme

Link Copied!

Penularan Covid-19 bukan sahaja mengubah gaya hidup manusia, bahkan memberi cabaran kepada ramai pihak. Ini termasuklah para ibu bapa, anak-anak dan guru untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan yang memerlukan perubahan dalam gaya pengajaran dan pembelajaran.

Belajar Online

Jelas sekali, pengajaran dan pembelajaran secara maya adalah antara pilihan yang ada dan rata-rata tenaga pengajar menggunakan beberapa platform khas telesidang tersedia – termasuk Google Classroom (GC) dalam usaha memudahkan pelbagai maklumat untuk disampaikan.

Sehubungan dengan itu, Google dilihat komited dalam menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu para guru dan pelajar di seluruh dunia untuk menggunakan platform mereka dengan lebih kreatif. Beberapa ciri baharu yang akan tersedia pada platform Google Classroom juga telah dikongsi untuk kemudahan semua pihak.

Antaranya, guru boleh menjejak penglibatan pelajar di mana mereka boleh melihat statistik yang relevan berkaitan bagaimana pelajar berinteraksi dalam kelas. Pemalam EdTech turut akan boleh diintegrasikan dalam GC secara terus tanpa perlu keluar dari aplikasi.

Google Classroom juga dinaiktaraf dengan keupayaan melampirkan imej atau foto dengan lebih baik – terutamanya hantaran gambar tugasan yang dibuat di atas kertas. Melaluinya juga, pelajar dikatakan boleh menggabungkan beberapa foto dalam satu dokumen dalam bentuk PDF yang lebih mudah disemak oleh guru. Sistem imbasan dokumen GC kini lebih mirip PhotoScan dan Photos yang menyunting gambar secara automatik.

Lampiran Imej Lebih Baik

Dalam pada itu, platform ini turut akan dinaiktaraf untuk pembelajaran secara luar talian atau capaian Internet yang rendah – di mana, pelajar masih mengikuti pembelajaran tanpa sambungan Internet. Pautan Google Drive, Gogle Docs dan menyunting kerja rumah boleh dilakukan di luar talian.

Beberapa lagi kemas kini lain termasuklah penyelarasan jadual kelas menerusi Student Information System (SIS), pendekatan mengajar dengan lebih kreatif dan sebagainya banyak lagi.

Antara masalah moden ialah pelajar yang sekadar menyalin tampal tugasan yang diberikan guru. Google Classroom kelak akan hadir dengan ciri Originality. Ia mengesan sama ada tugasan yang diberikan adalah ditiru dari sumber lain oleh pelajar. Originality menyokong 15 bahasa iaitu termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Kepada pelajar yang membaca artikel ini, selamat tinggal kepada era menyalin tampal tugasan berbentuk karangan.

Menghasilkan tugasan dalam GC juga menjadi lebih mudah dengan sokongan Rich Text Format. Status kelas misalnya boleh menggunakan perkataan Italic, garisan dan poin peluru apabila diperlukan.

Akhir sekali ialah GC akan memudahkan lagi proses menyemak tugasan oleh guru pada peranti mudah alih Android. Google menyedari semakin ramai guru menyemak tugasan yang diberikan menerusi telefon pintar dan oleh itu proses semakan pada peranti mudah alih akan ditambah baik.

Kesemua ciri baharu Google Classroom yang diumumkan hari ini akan diberikan secara berperingkat. Tarikh sebenar ia akan diaktifkan kepada pengguna masih belum dikongsi. Diharap secepat mungkin kerana dari apa yang dapat dilihat sekarang masih tiada harapan sekolah akan dibuka dalam masa terdekat.


Komen ()