Google berkongsi beberapa ciri menarik yang akan diperkenalkan pada Google Classroom hari ini selari dengan statusnya sebagai platform pembelajaran atas talian yang digunakan ramai ketika ini. Selain itu, mereka turut mengumumkan beberapa ciri baharu pada Google Meet yang akan memberikannya kemampuan yang sama seperti Zoom.
Pertama sekali ialah ciri yang paling lama diminta oleh golongan guru iaitu membisukan kesemua peserta secara serentak. Guru juga diberikan kuasa untuk menghalang sesetengah peserta (anak murid) dari menggunakan mikrofon mereka sekiranya perlu. Menerusi integrasi Google Classroom pula, hanya pelajar dalam senarai kelas akan dibenarkan menyertai sesi Google Meet.
Guru-guru juga akan secara automatik mendapat status sebagai Host dalam Google Meet sekiranya pertemuan atas talian yang besar diadakan. Ciri mematikan panggilan Meet untuk semua turut akan diberikan bagi mengelakkan perbincangan selepas hos meninggalkan panggilan.
Sokongan untuk pengguna dengan sambungan Internet yang perlahan bakal ditambah baik bersama dengan ciri transkrip automatik bagi memudahkan pelajar yang tidak hadir mengikuti kelas yang tertinggal. Kesemua ciri ini akan diberikan tahun ini tanpa tarikh pengaktifan dikongsi oleh Google.