Apple memperkenalkan siri cip pemprosesan Apple Silicon untuk menggantikan CPU Intel pada komputer-komputer Mac mereka, dan pada penghujung tahun lepas, memperlihatkan siri MacBook Air, MacBook Pro dan Mac Mini dengan Apple M1.
Apple dijangka akan mengemaskini lebih banyak model komputer riba MacBook dengan cip pemprosesan berdasarkan ARM ini, dan baru-baru ini, maklumat mengenai sebuah lagi cip Apple Silicon baru dikatakan telah tertiris, iaitu Apple M1X.
Menurut laman web perbandingan cip pemprosesan CPU Monkey, cip pemprosesan ini dilihat hadir dengan 12 teras, empat lebih banyak berbanding dengan apa yang ditawarkan melalui Apple M1. Ini termasuklah lapan teras berprestasi tinggi Firestorm, dan empat teras berprestasi tinggi Icestorm.
Dalam pada itu, cip pemprosesan grafik SoC M1X ini juga hadir dengan 256 unit pemprosesan berbanding dengan 128 unit SoC M1, dengan memori sebanyak 16GB berbanding dengan 8GB pada GPU sebelum ini.
Spesifikasi cip pemprosesan M1X ini boleh dikatakan berkemampuan untuk jauh meninggalkan cip pemprosesan M1 yang sudahpun memperlihatkan prestasi yang cukup memberangsangkan berbanding dengan beberapa cip-cip pemprosesan keluaran jenama-jenama yang lain.
Ia perlu diperkatakan bahawa cip pemprosesan M1X ini masih lagi berada dalam fasa pre-sample, dan apabila ia dilancarkan kelak, berkemungkinan hadir dengan konfigurasi yang berbeza, dan mungkin juga dengan prestasi yang jauh meninggalkan cip pemprosesan Apple M1 dan yang lain-lain.