Minggu ini PewDiePie memuat naik video muzik parodi I Love Kids yang diarahkan kepada saluran Cocomelon. Ia dihasilkan kerana Cocomelon kini akan memintas jumlah pengikut saluran beliau (108 juta vs 105 juta). Selepas beberapa hari, YouTube telah memadam video tersebut kerana melanggar terma dan syarat laman.

Kesalahan pertama ialah video mengandungi carutan walaupun terdapat kanak-kanak di dalamnya. Kesalahan kedua ialah ia menggalakkan buli atas talian. Tembikai ditetak, ditikam dan disembelih di dalam video tersebut. Akhir sekali di dalam video PewDiePie memberikan senjata kepada kanak-kanak untuk memusnahkan tembikai yang mewakili watak Cocomelon.
YouTube melihat kandungan ini jelas melanggar terma keselamatan ke atas kanak-kanak dan mungkin dilihat oleh mereka secara tidak sengaja. Walaupun didapati bersalah melanggar terma laman, saluran PewDiePie tidak akan menerima penalti strike seperti pengguna lain yang melakukan kesalahan yang sama.