Learjet mempopularkan pengguna pesawat jet peribadi pada dekad 1960an. Antara pengguna awalnya ialah Frank Sinatra yang meminjam Learjet 25 milik beliau kepada Elvis Presley untuk kahwin lari di Las Vegas. Bagi generasi moden pula, Learjet menjadi asas kepada pesawat peribadi Shamal dan Buckingham Luxor dalam siri Grand Theft Auto. Selepas beroperasi hampir 60 tahun, pengeluar Learjet dihentikan tahun ini kerana impak pandemik.

Bombardier yang kini adalah syarikat induk Learjet mengumumkan pengeluaran Learjet akan dihentikan. Lebih 1600 individu akan kehilangan kerja akibat penutupan kilang Learjet yang terletak di Wichita Amerika Syarikat. Sejak pesawat pertama dikeluarkan pada tahun 1964, lebij 3000 unit Learjet berjaya dikeluarkan. Walaupun pengeluaran telah dihentikan, Bombardier akan terus memberikan sokongan kepada pesawat sedia ada.
Sejarah Learjet adalah amat menarik kerana pengasasnya Bill Lear ialah seorang insan yang boleh dikategorikan sebagai bijak pandai dalam pelbagai bidang. Walaupun tidak menamatkan sekolah menengah, beliau memegang paten kepada alat navigasi radio yang kemudiannya digunakan pesawat ketika Perang Dunia Kedua, membina radio pertama untuk Motorola dan pencipta pemain muzik katrij 8-track.