Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, minat terhadap komputer kerdil Raspberry Pi semakin meningkat, kerana ia adalah sebuah komputer bersaiz padat pada tanda harga murah yang boleh dikatakan boleh digunakan untuk sejumlah tugasan-tugasan mudah seperti pembelajaran dan kerja pejabat di rumah.

Sebuah syarikat bernama Ready! Computer Corporation telah memperkenalkan rangka komputer Ready! Model 100 yang dilihat sebagai penaiktarafan kepada konsep Raspberry Pi 400 yang hadir dengan papan kekunci terbina.

Rangka komputer Ready! Model 100 ini boleh dilihat di Kickstarter, dimana ia hadir dengan rekaan papan kekunci mekanikal, paparan skrin sesentuh, pembesar suara dan palam I/O tambahan yang membolehkan Raspberry Pi anda menyokong lebih banyak aksesori.

Bergantung kepada pilihan anda, anda boleh memilih untuk mendapatkan model Ready! Model 100 kendiri, dimana komputer Raspberry Pi dan suis mekanikal papan kekunci perlu dibeli secara sendiri, ataupun mendapatkan model Neo, dimana kesemua komponen-komponen ini siap dipasang dan boleh terus digunakan.

Berdasarkan apa yang dapat dilihat, jika anda memilih untuk membeli model siap-pasang, model Raspberry Pi yang digunakan ialah yang hadir dengan memori sebanyak 2GB.

Apa yang membuatkan projek ini menarik juga ialah selain daripada Raspberry Pi, anda juga boleh memuatkan sebuah papan induk X86 (Intel atau AMD) bersaiz kecil yang biasanya digunakan didalam komputer-komputer kerdil seperti Intel NUC.

Setakat ini, projek Ready! Model 100 ini masih lagi ada enam hari sebelum ia ditutup, dan syarikat Ready! Computer Corporation ini masih lagi memerlukan sekitar $80,000 untuk menjayakan projek ini.

Dari segi tanda harga, Ready! Model 100 versi tanpa Raspberry Pi boleh didapati pada harga CAD299, manakala model siap-pasang hadir pada harga CAD499. Anda juga boleh memilih untuk mendapatkan model yang dikuasakan CPU AMD Ryzen pada harga CAD1399, dilengkapi dengan memori 16GB dan storan SSD sebesar 512GB.

Jika anda berminat untuk menggodek projek-projek yang menggunakan Raspberry Pi seperti ini, anda boleh ke laman web Kickstarter mereka untuk cuba menempah sebuah komputer ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd