Hanya beberapa jam yang lalu imej sebenar Huawei Mate X2 telah tertiris awal sebelum acara pelancaran. Kini peranti telahpun dilancarkan secara rasmi di China dan misteri mengenai spesifikasi peranti skrin boleh-lipat ketiga dari Huawei kini terjawab.

Huawei Mate X2 dilengkapi dua skrin. Skrin boleh-lipat sebesar 8″dan skrin sekunder 6.45″ dengan resolusi QHD+ serta sokongan kadar segar semula 90Hz. Ia dijana pula dengan cip Kirin 9000, memori sebesar 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 55W menerusi port USB-C. Sistem operasi Android digunakan tetapi akan dinaik taraf ke Harmony OS pada bulan April.

Kuad-kamera utama pula menggabungkan sensor 50MP Ultra Vision sudut lebar, 15MP sudut ultra lebar, 12MP telefoto zum digital 3X dan 8MP telefoto zum optikal 10X. Lensa 8MP ini ialah dari jenis periskop yang turut membenarkan zum digital sehingga 100X. Pada bahagian hadapan pula kamera swafoto 16MP disertakan dalam lubang skrin berbentuk bujur.

Dari segi rekaan memang ia amat menyerupai Galaxy Z Fold2 dengan skrin yang melipat ke dalam. Rekaan tubuh adalah agak runcing dengan ketebalan paling nipis sekitar 4mm. Turut disertakan ialah pengimbas cap jari sisi terbina pada butang kuasa dan pemancar infra merah. Tiada kamera pada bahagian skrin boleh-lipat dapat dilihat walaupun ada ura-ura sebelum ini mengatakan kamera bawah skrin akan digunakan.

Di China Huawei Mate X2 dijual pada harga bermula RMB17999 (~RM11,250) untuk versi 256GB dan RMB18,999 (~RM11,875) untuk versi 512GB sebuah dengan jualan akan dibuka pada 25 Februari ini.